Pelancaran buku perjalanan politik Anwar dihadiri tokoh NGO, politik, akademik
- Redzuan Shamsudin
- Jan 7, 2024
- 1 min read

Pelancaran buku menyingkap perjalanan politik dan pemikiran Perdana Menteri 'Anwar Ibrahim: Tenacious In Dissent, Hopeful in Power' tulisan Prof. Dr. Khoo Boo Teik di Petaling Jaya semalam meriah dan dipenuhi tokoh politik, NGO serta ahli akademik.
Menurut Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim, presiden pertubuhan Islam itu, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar atas, kanan sekali) tidak ketinggalan dalam pelancaran karya penting terbabit.

Kata beliau, para panelis yang memberi ulasan dalam majlis tersebut telah menyentuh berkenaan transformasi masyarakat melalui sejarah, biografi, dan politik Malaysia yang rumit, serta perbincangan yang mengelilingi topik tersebut.
"Buku ini mengungkap dan meneroka banyak usaha yang dijalankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gigih, dalam mengubah masyarakat pada saat ketidakstabilan politik.
"Karya ini mengupas perjuangan lebih 50 tahun Anwar sebagai seorang pelajar nasionalis Melayu, penggerak aktivisme Islam, bintang yang semakin meningkat dalam kerajaan, ‘pengganti yang terpilih’ kepada jawatan perdana menteri, seorang reformis yang teraniaya, dan seorang Ketua Pembangkang yang bangkit semula selepas melalui pelbagai ranjau dan onak duri dugaan," katanya dalam kenyataan.
Beberapa tokoh politik dan akademik lain yang hadir semalam ialah Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram (Penasihat Kanan Institut Kajian Khazanah); Dr. Lee Boon Chye (Bekas Timbalan Menteri Kesihatan); dan YB Lee Chean Chung (Ahli Parlimen Petaling Jaya).
Comentários