Pelan Tindakan KL20 wujudkan ekosistem syarikat pemula terbaik menjelang 2030
- Suara Keadilan
- 25 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pelan Tindakan KL20 menggariskan 12 inisiatif utama bagi menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur salah satu daripada 20 ekosistem syarikat pemula terbaik di peringkat global menjelang tahun 2030.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang (gambar) berkata pelan itu memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pelabur, pengasas syarikat pemula dan bakat berkemahiran tinggi ke dalam ekosistem syarikat pemula tempatan.
''Sehingga 30 Jun 2025, sebanyak 41,696 permohonan telah diterima merentasi kesemua 12 inisiatif utama di bawah Pelan KL20 dengan sejumlah 40,751 menerima manfaat.
''Menerusi portal tetingkap tunggal mySalam, sebanyak 4,464 syarikat pemula aktif juga telah berdaftar.
''Jumlah-jumlah itu menunjukkan terdapat minat dan sambutan yang luar biasa bagi inisiatif-inisiatif yang ditawarkan melalui Pelan Tindakan KL20,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang ingin tahu status semasa pelaksanaan Pelan Tindakan KL20 dan bagaimana Kementerian boleh memposisi Malaysia sebagai hub startup yang kompetitif di peringkat ASEAN.
Dalam pada itu, Lih Kang turut memaklumkan bahawa kedudukan Kuala Lumpur telah meningkat ke tangga ke-18 dalam senarai Emerging Startup Ecosystem yang diterbitkan oleh Startup Genome.
Katanya, sebelum ini iaitu pada tahun 2024, Kuala Lumpur berada di tangga 21 hingga 30.