Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor fokus tiga teras utama - Exco
- Suara Keadilan

- Sep 23
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 yang akan dilancarkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, bakal memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu multimedia dan digital, seni dan budaya serta warisan budaya.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi menyifatkan, ketiga-tiga komponen itu sebagai elemen penting dalam pelan tindakan ekonomi negeri.
''Kita mahu memastikan ketiga-tiga segmen ini.. jika diperincikan sebenarnya merangkumi pelbagai peringkat termasuk komuniti, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
''Kita ingin melihat usahawan-usahawan atau mereka yang terlibat dalam sektor ekonomi kreatif berjaya mengembangkan perniagaan dan usaha mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran Selangor Creative Economy Expo 2025 (SCEE25) yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam bermula hari ini sehingga esok.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata, bermula tahun depan, pihaknya juga akan memberikan tumpuan untuk program-program latihan dan pemberdayaan kepada usahawan di Selangor.
Katanya, program latihan itu bertujuan memberikan pemahaman kepada usahawan tentang pembangunan perniagaan, termasuk mendidik mereka agar memahami realiti pasaran.
''Pada masa yang sama, kerajaan akan membantu usahawan yang mempunyai produk berkualiti untuk menembusi pasaran antarabangsa.
''Ini antara perancangan yang kita sedang teliti. Berkenaan dana pula, peruntukan yang lebih signifikan akan diumumkan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) dalam pembentangan Belanjawan 2026 nanti,'' ujar Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik.









Comments