Pelan insurans asas MHIT: Reformasi industri insurans untuk rakyat marhaen
- Suara Keadilan

- 3 minutes ago
- 2 min read

Pelancaran Pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) atau Medical Health Insurance and Takaful merupakan langkah penting membetulkan ketidakseimbangan pasaran serta mereformasikan industri insurans demi kepentingan rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar), kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta sejak September 2024 telah memberi kesan besar kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, terutama golongan pekerja serta syarikat swasta yang menyediakan perlindungan insurans kepada kakitangan mereka.
Sehubungan itu, katanya, langkah pembetulan yang diumumkan kerajaan itu amat dialu alukan.
"Rakyat amat terbeban dengan kenaikan premium insurans yang mendadak. Ekoran daripada itu, ramai yang menghentikan polisi mereka dan akibatnya membebankan hospital kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tze Tzin yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pengumuman Pelan MHIT Asas telah mengembalikan keyakinan rakyat bahawa kerajaan benar-benar mendengar keluhan mereka dan bersedia mengambil tindakan berani.
"Dengan iltizam politik (political will), kerajaan sebenarnya mampu membetulkan pasaran (market distortion) dan mereformasikan industri insurans
"Bukan semua kerajaan mempunyai iltizam dan keberanian melakukan reformasi terhadap isu yang rumit dan industri insurans yang melibatkan syarikat-syarikat gergasi yang kebanyakannya dari negara asing," ujarnya.
Beliau turut membandingkan situasi di Amerika Syarikat, yang mana kegagalan industri insurans mengawal kenaikan harga dan melindungi pesakit telah mencetuskan kemarahan rakyat sehinggakan seorang CEO syarikat insurans ditembak mati baru baru ini.
Sehubungan itu, Tze Tzin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri, Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan II, Gabenor Bank Negara serta semua pihak terlibat dalam merangka dan melaksanakan Pelan MHIT Asas, yang merupakan inisiatif utama di bawah Strategi RESET.
Mengimbas kembali pengalamannya, beliau berkata isu kenaikan premium insurans sehingga 78 peratus pada tahun 2024 telah mendorong beliau, ketika itu sebagai Ahli Parlimen biasa, untuk mengambil tindakan.
"Saya mengkaji isu itu dengan tekun, berjumpa dengan hampir semua pemain industri dan saya melancarkan kempen memperjuangkan isu ini," jelasnya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat memainkan peranan kecil dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai isu tersebut, sambil berterima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan yang memberi kerjasama walaupun berdepan tekanan.
"Siapa kata kerajaan tak buat kerja? Siapa kata Ahli Parlimen biasa tidak berupaya membentuk polisi?
"Ini adalah kejayaan apabila Ahli Parlimen dan Kerajaan MADANI berani melakukan reformasi demi rakyat," kata beliau lagi.
Untuk rekod, pelan MHIT menyasarkan individu yang pada masa ini tidak mempunyai perlindungan insurans atau takaful memandangkan hanya 22 peratus daripada penduduk Malaysia dilindungi oleh insurans.
Ia turut menyasarkan individu yang mencari alternatif yang lebih mampu milik berbanding pelan MHIT sedia ada mereka berikutan peningkatan premium yang ketara dari semasa ke semasa, khususnya pada usia yang lebih lanjut, dengan umur maksimum pendaftaran ialah 70 tahun dengan kadar premium serendah RM80 hingga RM120 sebulan sebagai langkah drastik menangani kenaikan kos sara hidup.
Ditawarkan pada harga rendah, pelan itu menyediakan had perlindungan tahunan sebanyak RM100,000.
Menurut Kertas Putih Pelan Asas MHIT, had berkenaan disifatkan memadai untuk menampung 99 peratus episod rawatan bagi pelbagai kondisi umum berdasarkan trend tuntutan perubatan semasa.
Pelan itu dijangka mula berada di pasaran pada awal 2027 selepas pelaksanaan rintis pada separuh kedua 2026.









Comments