top of page

Pelan Damai Trump di Gaza: Ada perkara mencurigakan, kerajaan perlu diteliti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 7
  • 2 min read

ree

Malaysia perlu berhati hati dalam menzahirkan sokongan terhadap Pelan Damai 20 Perkara yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menyelesaikan konflik Gaza.


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjawab perkara itu di Dewan Rakyat dengan mengambil kira banyak perkara.


Katanya, isu berkenaan amat penting selaras dengan pendirian tegas Malaysia yang selama puluhan tahun memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.


"Kerajaan Malaysia jangan terlalu mudah, jangan terburu-buru dan jangan beri cek kosong terhadap Pelan Damai 20 perkara Presiden Donald Trump itu," kata Hassan dalam satu kenyataan.


Beliau menambah bahawa setiap butiran pelan tersebut perlu diteliti kerana terdapat beberapa perkara mencurigakan yang tidak selaras dengan prinsip keadilan sejagat juga hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.


"Kita memang teruja dengan cadangan Trump menjanjikan perang tamat segera di Gaza dan keamanan untuk rakyat Gaza dapat dicapai.


"Kalau Trump benar jujur tentang keamanan di Gaza untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin maka kenapa Trump dan Amerika Syarikat berturut-turut sebanyak enam kali dalam masa dua tahun perang berlangsung telah menggunakan kuasa vetonya ke atas 6 resolusi untuk menggagalkan gencatan senjata di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


"Sebab pendirian Trump dan Amerika Syarikat yang menyokong regim zionis Israel itulah, maka seramai lebih 66,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel," katanya.


Hassan turut mempersoalkan kredibiliti tokoh-tokoh yang dikatakan bakal menganggotai badan penyelia pelan tersebut, termasuk mantan Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair yang sebelum ini terlibat dalam perang Iraq bersama Presiden George W. Bush.


Beliau menegaskan bahawa kenyataan Netanyahu sendiri yang menolak kewujudan sebuah negara Palestin merdeka sejak sekian lama dan hal itu membuktikan bahawa pelan damai tersebut tidak berlandaskan keikhlasan sebenar.


"Nentanyahu dengan terang-terang telah menyatakan kepada rakyat Israel bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari wilayah yang telah ditakluknya dan Nentanyahu tidak bersetuju wujudnya sebuah negara Palestin merdeka.


"Ertinya Perdana Menteri Israel itu secara terang lagi bersuluh tidak menerima perkara-perkara asas yang dinyatakan dalam pelan damai Trump 20 perkara itu," ujar Hassan lagi.


Justeru, Hassan berharap kerajaan Malaysia meneliti lebih lanjut rancangan damai 20 perkara Trump yang mencurigakan dalam banyak perkara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page