top of page

Pelan damai: Hamas umum gencatan senjata, Israel undur dari Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 9
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Pergerakan Hamas pada Khamis mengumumkan bahawa pihaknya telah mencapai satu perjanjian gencatan senjata dengan Israel sekali gus menamatkan perang yang telah meragut lebih 60,000 nyawa di Gaza sejak Oktober 2023.


Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan menerusi laman web rasminya, Hamas berkata perjanjian itu dicapai selepas rundingan intensif di Sharm el-Sheikh, Mesir yang turut disertai wakil dari Qatar, Mesir dan Turki sebagai perantara.


Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan merangkumi penghentian serangan ketenteraan, pengunduran penuh tentera Israel dari jalur Gaza, kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan serta pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak.


"Hamas dan faksi-faksi perjuangan Palestin telah mencapai persetujuan untuk menamatkan perang ke atas Gaza, memastikan pengunduran penjajahan dari wilayah itu, membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan memulakan pertukaran tahanan," kata kenyataan Hamas yang turut mengucapkan penghargaan kepada usaha diplomatik Qatar, Mesir, Turki serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.


Hamas menyeru semua negara penjamin agar memastikan Israel melaksanakan sepenuhnya tanggungjawabnya di bawah perjanjian tersebut dan tidak melengah-lengahkan proses pengunduran serta pelaksanaan fasa awal gencatan senjata.


Perjanjian itu merupakan sebahagian daripada “Pelan Damai 20 Perkara” yang diumumkan oleh Trump bulan lalu yang bertujuan menamatkan konflik dua tahun di Gaza.


Antara komponen utama pelan tersebut termasuk pengunduran bertahap tentera Israel ke luar sempadan Gaza dan pembebasan tahanan Israel yang masih hidup dalam masa 72 jam selepas pengesahan rasmi.


Selain itu, ia juga melibatkan pembebasan lebih 1,700 tahanan Palestin, termasuk mereka yang dipenjara sejak Oktober 2023 dan ratusan yang menjalani hukuman seumur hidup.


Pelan itu juga membabitkan pemantauan antarabangsa terhadap nyah ketenteraan Gaza dan penghapusan terowong serta loji senjata serta penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang akan dikerahkan untuk mengawasi keamanan dan bantuan kemanusiaan.


Trump dalam satu kenyataan di Washington mengesahkan bahawa Israel dan Hamas telah menandatangani “fasa pertama” pelan tersebut, sambil menyatakan kesediaannya untuk melakukan lawatan ke Timur Tengah “bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.”


"Kedua-dua pihak akhirnya bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk menamatkan perang ini dan memberi peluang kepada rakyat Gaza untuk hidup dengan aman," kata Trump seperti dipetik oleh Associated Press (AP).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page