Pelan Damai Gaza: PM dimaklumkan Presiden Mesir pelan pembinaan semula Gaza
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza menerusi perbualan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, yang diadakan semalam.
Menurut Perdana Menteri, Presiden El-Sisi memaklumkan bahawa tumpuan utama kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza, bagi memastikan rejim Zionis tidak mempunyai alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang berjalan.
"Beliau turut memaklumkan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut, iaitu pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF)," kata Anwar dalam muat naik di Facebook.
Dalam perbualan itu juga, kata Anwar, Presiden Mesir menyampaikan jemputan rasmi kepada beliau untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan diadakan di Mesir tidak lama lagi — sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan wilayah tersebut.
Anwar turut memaklumkan bahawa Presiden El-Sisi berharap kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan akan membawa hasil positif, memandangkan peranan Amerika Syarikat amat penting dalam menjamin keamanan berkekalan di Gaza.
"Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan, dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan," ujar Anwar.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha damai dan pemulihan Gaza selaras dengan prinsip kemanusiaan dan solidariti dunia Islam di bawah kerangka Malaysia Madani.