Pelaksanaan tribunal antibuli ambil kira perspektif pelajar - Azalina
- Suara Keadilan

- Sep 27
- 1 min read

Kerajaan mahu mendengar secara langsung pengalaman dan pandangan pelajar agar sebarang dasar atau perundangan berkaitan tribunal antibuli benar-benar mengambil kira kepentingan mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata bagi tujuan itu pihaknya bercadang mengadakan sesi townhall bersama pelajar bagi mendapatkan pandangan berkaitan pelaksanaan tribunal antibuli.
"Dalam usaha mendapatkan lebih banyak pandangan, saya akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada Isnin ini untuk mendengar perspektif daripada sekolah-sekolah berasrama penuh.
"Seterusnya, pada bulan Oktober, saya bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengadakan sesi libat urus dengan persatuan-persatuan pelajar universiti dan warga mahasiswa.
"Kami juga akan mengadakan sesi khas untuk mendengar suara kanak-kanak dari sekolah menengah dan rendah. Insya-Allah, pandangan mereka akan memberikan kita perspektif baharu yang amat berharga," katanya dipetik.
Terdahulu, Azalina menghadiri Sesi Townhall Antibuli di Peringkat Pulau Pinang dan Perak di Bayan Lepas pada Jumaat.
Sementara itu beliau menjelaskan, antara dapatan utama hasil sesi libat urus dan kaji selidik yang dijalankan sebelum ini keperluan mendefinisikan buli secara menyeluruh.
"Isu buli sukar ditakrifkan kerana tafsiran berbeza-beza, namun ia tetap memberi kesan besar kepada mangsa.
"Kadang-kadang seseorang rasa tergugat walaupun orang lain anggap itu bukan buli. Sebab itu penilaian terhadap isu ini berbeza mengikut keadaan," jelasnya.









Comments