Pelaksanaan SDG di Sabah dilaksana secara tersusun, inklusif
- Suara Keadilan
- 37 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI komited memastikan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Sabah dilaksanakan secara tersusun, inklusif dan selari realiti serta keperluan unik negeri itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Bidang Fokus Utama 6 SDG Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, pada Selasa.
"Mesyuarat ini merupakan sesi ‘kick-off’ penting bagi menyelaras hala tuju, memperkukuh struktur tadbir urus serta memantapkan pelan tindakan pelaksanaan Bidang Fokus Utama 6 SDG agar selari realiti dan keperluan unik di Sabah," katanya dipetik.
Mustapha sementara itu menegaskan, pelaksanaan SDG di Sabah mengambil kira pelbagai cabaran setempat termasuk pembangunan kawasan luar bandar dan pedalaman, pembasmian kemiskinan pelbagai dimensi, peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.
Ia termasuk penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air selamat, pemeliharaan alam sekitar serta pemerkasaan belia dan komuniti tempatan.
Justeru, penekanan utama diberikan kepada pendekatan whole-of-government dan whole-of-society melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, agensi pelaksana, sektor swasta serta masyarakat sivil.
"Strategik ini penting bagi memastikan setiap inisiatif SDG bukan sekadar dirancang di atas kertas, sebaliknya benar-benar memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
"Insya-Allah, usaha ini akan terus diperkasakan secara berterusan demi memastikan pembangunan yang seimbang dan mampan, serta menjamin kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang," tambahnya.





