top of page

Pelaksanaan eKYC kawal penggunaan internet selepas sesi persekolahan - Dr Ali Hassan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Cadangan pelaksanaan sistem eKYC (electronic Know Your Customer) dan menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun daripada 13 tahun yang dicadang sebelum ini adalah wajar bagi menangani kebimbangan khususnya di kalangan ibu bapa dan guru terhadap risiko pendedahan kepada buli siber, penipuan digital dan kandungan berbahaya.


Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, penguatkuasaan eKYC dan had minima pengguna media sosial yang bakal dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukan bertujuan menyekat kebebasan pelajar, sebaliknya mewujudkan ekosistem digital selamat daripada ancaman siber, penipuan dalam talian dan kandungan tidak bermoral yang semakin berleluasa.


"PIBGN menyokong kuat had umur remaja guna media sosial dari 13 tahun ke 16 tahun. Perlu juga beberapa perkara diatasi, antaranya kandungan media sosial yang ditapis, khususnya melibatkan kandungan ganas, bersifat seksual dan melanggar tatasusila budaya timur dan undang-undang syariah.


"eKYC dan had minimum pengguna media sosial ini wajar bagi mengawal penggunaan media sosial di kalangan pelajar dan remaja terutamanya selepas sesi persekolahan atau ketika para remaja bersendirian di dalam bilik.


"Apakah selepas jam 10 malam, gajet diserahkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk mengawal penggunaannya bagi mendapatkan waktu rehat dan tidur secukupnya? Perlu dicegah sumber kandungan yang mudah diperolehi dan tidak terkawal.


"Perkara ini memerlukan kaedah, pendekatan dan penglibatan yang khusus, termasuk melibatkan perspektif pakar teknologi dan maklumat," kata Dr Mohamad Ali kepada Suara Keadilan.

Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan. Foto: Metro
Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan. Foto: Metro

Kerajaan sebelum ini mencadangkan menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun daripada 13 tahun, selain penguatkuasaan eKYC, sebagai kaedah pengesahan identiti secara atas talian sepertimana digunakan sektor perbankan dan sektor e-hailing.


Sementara itu Dr Mohamad Ali berkata, perlu diwujudkan mekanisme amaran ataupun penguatkuasaan khususnya melibatkan penyalahgunaan internet.


"(Misalnya) denda atau hukuman yang setimpal dikenakan kepada mereka yang mengedarkan dan memuat turun kandungan yang berbahaya, bersifat seksual, ganas dan sebagainya," katanya.


Dalam pada itu beliau menjelaskan langkah ini perlu selari dengan tanggungjawab bersama antara sekolah, ibu bapa dan komuniti untuk membentuk disiplin digital dalam kalangan generasi muda.


"Peranan ibubapa, penjaga serta komuniti di samping sekolah sentiasa penting untuk membendung para pelajar dan remaja daripada terjebak ke dalam gejala sosial yang lebih ekstrem," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page