Pelaksanaan BINGKAS cemerlang di Batang Kali, harap penambahan kuota
- Suara Keadilan

- Sep 3
- 1 min read

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menzahirkan harapan agar kuota Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi kawasan itu dapat ditambah bagi memenuhi keperluan rakyat setempat.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor itu berkata, penilaian terkini Bahagian Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor membuktikan pelaksanaan BINGKAS di kawasan Batang Kali berjalan baik dan mencapai sasaran ditetapkan kerajaan negeri.
"Semoga dengan laporan ini, kuota BINGKAS bagi DUN Batang Kali dapat ditambah," katanya menerusi hantaran di Facebook.
BINGKAS merupakan antara inisiatif utama Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan keperluan asas serta meringankan kos sara hidup rakyat.
Dilaksana menerusi aplikasi SELangkah, penerima yang layak diberi bantuan bulanan RM300 selama dua tahun untuk membeli barangan keperluan penting seperti makanan, barangan kebersihan, lampin bayi, barangan sekolah dan kesihatan.
Pelaksanaanya sebagai sebahagian komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan.
Sementara itu, Saifuddin memaklumkan lawatan pemantauan yang diketuai Encik Sulaiman bersama pasukan Bahagian Audit Dalam semalam turut meninjau kesan positif inisiatif tersebut kepada penerima.
Pemimpin-pemimpin komuniti setempat yang menyertai lawatan tersebut turut berkongsi keperluan serta cabaran semasa dihadapi masyarakat.
"Saya berasa amat bangga kerana usaha gigih pasukan Pusat Khidmat mendapat pengiktirafan yang sewajarnya," tambah beliau.









Comments