Pelajar TVET dikerah hadir kempen: Mengapa hanya satu parti dibenar terlibat?
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 1 min read

Pelajar berusia 18 tahun ke atas yang layak mengundi berhak didedahkan kepada kempen politik semua parti, namun pelajar bawah umur tidak sepatutnya dilibatkan dalam kempen pilihanraya, kata Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni (gambar).
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis itu mengulas dakwaan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Perling, Tee Boon Tsong, berhubung pelajar sebuah kolej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Johor yang didakwa dikerah menghadiri ceramah politik Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Katanya, jika benar dakwaan tersebut dan melibatkan pelajar atas 18 tahun, sepatutnya semua parti dibenarkan mengetengahkan manifesto mereka.
"Aktiviti berkempen seharusnya hanya ditumpukan kepada pemilih yang sah mengikut undang-undang negara.
"Kalau pelajar itu ialah pelajar yang layak mengundi, sebenarnya semua parti politik berhak berkempen dan memperkenalkan manifesto yang ditawarkan kepada warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira mereka berada di mana atau memihak kepada parti mana.
"Tetapi kalau parti lain dihalang daripada masuk dan hanya satu parti sahaja dibenarkan berkempen, itu tidak wajar.
"Dalam sistem demokrasi, semua parti politik sepatutnya diberi ruang yang sama untuk memperkenalkan manifesto kepada warga Johor yang layak mengundi sebelum mereka membuat pilihan pada Sabtu ini," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Terdahulu, Boon Tsong mendakwa beliau menerima aduan pelajar dikehendaki oleh kolej mereka untuk menghadiri acara di sebuah premis kerajaan di Kluang pada 4 Julai lalu.
"Kehadiran diwajibkan oleh kolej. Pelajar tidak tahu apa tujuan acara itu. Apabila tiba di lokasi, mereka mendakwa diminta menukar pakaian kepada baju biru untuk ketibaan (Datuk) Onn Hafiz dan dipaksa melaungkan slogan kempen," katanya dipetik laporan FMT.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.




Comments