top of page

Pelajar tingkatan enam Selangor dapat baucar buku RM200

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
20 hours ago
1 min read
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor

Semua pelajar tingkatan enam rendah di Selangor bakal menerima baucar buku bernilai RM200 bagi meringankan perbelanjaan mendapatkan buku rujukan, bahan pembelajaran dan kelengkapan persekolahan.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan menerusi inisiatif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI itu dijadual dilaksanakan mulai Januari 2027.


Baucar tersebut menurutnya akan disalurkan dalam bentuk kredit menerusi aplikasi dompet digital NINE yang dibangunkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor.


"Menerusi program ini, setiap pelajar yang terlibat akan menerima kredit RM200 yang dimasukkan terus ke dalam akaun NINE masing-masing.


"Mereka boleh menggunakan kredit itu untuk membeli buku rujukan, bahan pembelajaran, alat tulis dan peralatan persekolahan," katanya dipetik laporan media.


Ahmad Azri sebelumnya hadir menyerahkan bantuan banjir Yayasan MBI kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid An-Naim, Jalan Kebun pada Khamis.


Mengulas lanjut pemberian insentif tersebut beliau menjelaskan, pembelian menggunakan baucar itu hanya dibenarkan di koperasi atau kedai buku sekolah masing-masing.


Pendekatan tersebut bagi memberi manfaat kepada pengusaha koperasi serta kedai buku sekolah melalui pembelian barangan keperluan pembelajaran.


"Melalui kaedah ini, manfaat program bukan sahaja diterima pelajar, tetapi turut dapat dirasai koperasi dan kedai buku sekolah menerusi pembelian barangan keperluan pembelajaran," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page