top of page

Pelajar Tingkatan Enam dapat elaun dibawa ke Kabinet minggu depan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jun 14
1 min read

Cadangan berhubung pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam bakal dibawa ke mesyuarat Kabinet pada minggu depan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar).


Pada sesi soal jawab Bicara Bersama Pemimpin POV Anak Muda Ketidakpastian Realiti: Siri 2 Zon Utara di Butterworth pada Sabtu, Fadhlina berkata, pihaknya memahami harapan pelajar yang mahu menikmati elaun berkenaan selepas kementeriannya berjaya memperjuangkan pemberian elaun kepada penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG).


"Jangan risau, minggu depan iaitu selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) balik dari Turkmenistan, dalam Jemaah Menteri, saya sendiri akan sampaikan mesej anak-anak (pelajar Tingkatan Enam) tentang elaun itu.


"Kerana apa? Kerana kita (KPM) faham. Kita faham keutamaan serta harapan anak-anak ini. Anak-anak di IPG (Institut Pendidikan Guru) pun sudah dapat (elaun) selepas kita perjuangkan isu itu.


"Jadi, anak-anak di Tingkatan Enam ini masih lagi kita perjuangkan untuk perkara tersebut," kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu dipetik.


Beliau sebelumnya menjawab soalan seorang peserta program berhubung elaun berkenaan.


Dianggarkan, lebih 900 peserta yang mewakili pelbagai latar belakang komuniti belia mengambil bahagian dalam program anjuran Persatuan Gagasan Anak Watan Malaysia dan Merdeka Centre bersama beberapa rakan strategik lain itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut memaklumkan, pelajar Tingkatan Enam buat pertama kalinya bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang akan disalurkan pada Ogos ini


Beliau juga menjelaskan keputusan meletakkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah sebahagian daripada hala tuju baharu pendidikan negara.


"Persiapan sudah dimulakan dengan mewujudkan jawatankuasa paling awal kita akan mula proses pada Oktober sebelum Tingkatan Enam diserahkan kepada KPT pada 2030, proses itu masih panjang," katanya.

 
 
 

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page