top of page

Pelajar maut ditikam: MB Selangor ucap takziah, perketat keselamatan sekolah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 44 minutes ago
  • 2 min read

ree

Kerajaan Negeri Selangor menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam terhadap tragedi yang menimpa seorang pelajar perempuan SMK Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya, yang maut selepas ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sekolah itu pagi tadi.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor yang mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan menjelaskan bahawa kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur perkauman.


"Sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan, saya tidak dapat membayangkan kesedihan yang sedang dilalui ibu bapa mangsa.


"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan berdoa agar mereka diberikan kekuatan serta perlindungan dalam menghadapi tragedi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Amirudin, kerajaan negeri memandang serius kejadian berkenaan dan memberi tumpuan penuh terhadap usaha mempertingkat tahap keselamatan di semua sekolah di Selangor dengan segera.


Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta komuniti setempat bagi memperkukuh pemantauan keselamatan pelajar dan warga sekolah.


"Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita. Beberapa langkah termasuk usaha keselamatan tambahan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan dibincangkan segera dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," ujarnya.


Amirudin menegaskan bahawa tragedi seumpama ini harus menjadi pengajaran penting kepada semua pihak agar keselamatan pelajar terus menjadi keutamaan.


"Kerajaan negeri akan memastikan setiap sekolah di Selangor dilengkapi sistem keselamatan dan sokongan psikologi yang lebih mantap demi kesejahteraan anak-anak kita," katanya.


Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi tadi, mangsa, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat disahkan maut selepas dipercayai ditikam oleh rakan sekolahnya, seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di kawasan sekolah berkenaan.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan polis turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.


"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan peribadi antara kedua-dua pelajar. Tiada unsur perkauman atau gengsterisme dikesan setakat ini," katanya.


Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat manakala suspek dijangka direman di Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas siasatan dalaman bagi menilai semula prosedur keselamatan sekolah dan memastikan semua pihak memahami tanggungjawab dalam menangani isu disiplin pelajar.


Sementara itu, pasukan kaunselor dan pegawai psikososial dihantar ke sekolah berkenaan bagi memberikan sokongan emosi kepada pelajar, guru serta keluarga mangsa.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page