top of page

Pelajar 11A sudah dapat tawaran Kolej Matrikulasi Selangor, biasiswa PETRONAS

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • May 29
  • 2 min read

Isu pelajar cemerlang 11A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang didakwa gagal mendapat tempat ke matrikulasi sebenarnya sudah menerima terima tawaran ke sebuah pusat pengajian di Selangor.


Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George (gambar) berkata, semakan yang dibuat pihaknya juga mendapati pelajar terbabit sudah mendapat peluang biasiswa PETRONAS.


"Setelah semakan dibuat, pelajar tersebut sebenarnya telah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Selangor.


"Selain itu, beliau juga telah mendapat peluang biasiswa daripada PETRONAS," katanya dalam kenyataan.


Beliau mengulas mengenai video TikTok oleh pengguna @kanithan yang tular baru-baru ini berkaitan dakwaan seorang pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 11A tidak diberikan peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan awam.


Gunaraj menjelaskan, terdapat beberapa isu berkaitan kesilapan dalam pengisian dan dokumentasi permohonan yang telah merumitkan proses tersebut.


Malah kata beliau pihak keluarga sendiri turut memaklumkan bahawa peluang pendidikan sebenarnya telah diberikan oleh pihak kerajaan.


Dalam banyak keadaan, kesilapan teknikal seperti pengisian borang yang tidak lengkap, dokumen tidak tepat atau kelewatan penghantaran dokumen boleh menjejaskan proses permohonan dan tawaran yang diterima, ujar Gunaraj.


Kata beliau kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya melalui pelbagai saluran termasuk matrikulasi, biasiswa dan institusi pengajian tinggi awam.


"Saya juga ingin menyeru kepada semua pelajar dan ibu bapa agar lebih teliti dalam proses permohonan serta sentiasa mendapatkan bantuan dan panduan daripada pihak sekolah, kaunselor atau agensi berkaitan bagi memastikan setiap peluang yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


"Justeru itu, masyarakat dinasihatkan agar mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh sebelum membuat sebarang kesimpulan atau menyebarkan maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan," ujarnya.


Terdahulu isu pelajar 11A yang didakwa tidak mendapat tempat dalam program matrikulasi turut dibangkit ADUN Bukit Kemuning, Preakas Sampunathan.


Wakil rakyat itu berkata, isu tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi jaminan pelajar memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan tempat dalam program berkenaan.


Laporan media tempatan pada Jun 2024 memetik PM Anwar memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam SPM dan memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.


Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama memperincikan kaedah dan pelaksanaan perkara itu dalam waktu terdekat.


"Ketetapan ini dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang SPM mendapat peluang terbaik untuk melanjutkan pengajian. Pada masa yang sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas," kata Perdana Menteri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page