Oleh: Abdullah Zaid
Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) daripada syarikat-syarikat gergasi teknologi seperti Google dan Tesla ke Malaysia bakal menaikkan ekonomi negara pada jangka panjang.
Namun menurut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, rakyat tidak boleh melihat peluang pekerjaan bertambah atau kenaikan pendapatan negara dalam sekelip mata selepas pengumuman pelaburan itu.
Wong menyelar laskar siber dan pemimpin pembangkang sejak kebelakangan ini menyifatkan kemasukan FDI itu sekadar ‘pengumuman’ tetapi tidak wujud kemasukan modal sebenar.
Katanya, kelaziman syarikat gergasi membuat pengumuman dahulu sebelum memulakan pelaburan. Hal itu menurutnya merupakan prosedur pelaburan di mana mana negara di dunia.
"Pembangkang kena lebih faham bahawa syarikat gergasi global tidak akan main-main dan umum (sesuka hati) sahaja.
"Bila mereka umum, pasti akan dilakukan. Kalau tidak lakukan (memperdaya pasaran kewangan) saham syarikat itu akan jatuh," katanya kepada Suara Keadilan.
Manakala proses pelaburan itu, katanya, bukanlah semudah memindahkan dana ke Malaysia dan rakyat akan mendapat nikmat.
Jelasnya, proses akan bermula dengan pembelian tanah dan disusuli pembinaan kilang yang mengambil masa setahun atau lebih untuk disiapkan.
"Kemudian barulah kemasukan pekerja yang akan memanfaatkan tawaran pekerjaan mengikut posisi masing-masing dalam syarikat tersebut.
"Sebab itu, pembangkang lebih baik mendengar penjelasan ini (dari kerajaan) dan menyokong kerajaan untuk memperkasakan ekonomi negara. Bukannya mempolitikkan isu tersebut," ujar Pengarah Dasar KEADILAN Malaysia itu.
Malah, jelasnya, pembangkang tidak sepatutnya meragui usaha kerajaan menarik minat syarikat gergasi melabur di Malaysia kerana usaha itu mampu meningkat hasil negara.
Untuk rekod, pembangkang sering mempersenda kemasukan FDI ke negara ini sejak beberapa bulan lalu. Terbaharu, janji pelaburan gergasi teknologi Google yang akan melabur RM9 bilion juga dipertikai kerana pelaburan itu kononnya hanya pengumuman tetapi tidak kelihatan pembinaan kilang atau pembesaran operasi syarikat berkenaan di Malaysia.
Comments