top of page

Pelaburan sektor AI diwajibkan latih tenaga kerja tempatan, lengkap prasarana

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
15 hours ago
2 min read
DS Anwar menjawab dengan terperinci setiap soalan dikemukakan kepada beliau dalam dalam dialog negara
DS Anwar menjawab dengan terperinci setiap soalan dikemukakan kepada beliau dalam dalam dialog negara

Umpamanya yang terakhir dengan Google, AS$15 bilion masuk. Apa syarat kita? Yang belum kita lakukan, dia belanja RM600 juta siapkan bekalan air di Negeri Sembilan. Dia pastikan latihan 1,000 anak-anak kita bukan sekadar pengenalan pencerahan tentang AI, tetapi penguasaan yang lebih tinggi kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) umpamanya

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) mesti bergerak seiring dengan agenda keadilan sosial, termasuk memastikan pekerja menerima gaji setimpal dan rakyat tempatan menguasai kemahiran teknologi tinggi, bukan sekadar menjadi penonton kepada ledakan ekonomi digital.


Beliau berkata, kerajaan menetapkan syarat tegas terhadap kemasukan pelabur asing dalam sektor AI, termasuk perlu menyediakan infrastruktur bekalan air dan latihan penguasaan dalam teknologi AI kepada warga tempatan.


"Umpamanya yang terakhir dengan Google, AS$15 bilion masuk. Apa syarat kita? Yang belum kita lakukan, dia belanja RM600 juta siapkan bekalan air di Negeri Sembilan. Dia pastikan latihan 1,000 anak-anak kita bukan sekadar pengenalan pencerahan tentang AI, tetapi penguasaan yang lebih tinggi kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) umpamanya.


"Itu hal-hal yang kita letakkan syarat sebelum mereka masuk. Kalau syaratnya terlalu banyak dan membebankan, mungkin dia tidak datang tetapi saya setuju bahawa kita harus tegas menunjukkan kesediaan kita mengundang pelabur tetapi jangan menyebabkan kesenjangan itu terus membengkak dan melebar," katanya.


Beliau berkata demikian dalam Program Dialog Negara Khas: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan menerusi TV1 dan RTMKlik serta saluran media tempatan, malam tadi.


Mengulas lanjut, PM berkata, perkembangan pesat AI dalam era ‘post-normal times’ turut menuntut Malaysia bersedia menghadapi perubahan teknologi yang sukar dijangka.


Namun ujar beliau yang juga Presiden KEADILAN, kemajuan tersebut perlu dipandu prinsip etika dan keadilan sosial agar tidak melebarkan jurang antara masyarakat.


"Kejutan itu (sememangnya) lebih mencabar dan kita harus terima itu. Maknanya soal memacu, mendukung keperluan AI merupakan satu kemestian.


"Ini yang saya sebut menggapai di langit tetapi etika, keadilan sosial harus dijadikan satu tonggak dalam perbincangan kita (iaitu) mengakar di bumi.


"Tentunya kita belum pastikan (muktamadkan) langkah-langkah yang diambil dari sudut AI kerana dari segi sistem (ekonomi negara) usaha menaikkan gaji pekerja contohnya daripada RM1,200 kepada RM2,000 setengah mati bantahannya.


"Saya kadang-kadang menyanggah pandangan beberapa pemodal yang untungnya RM800 juta hingga RM1 bilion setahun. Nak naikkan gaji pekerja itu berhempas pulas, tapi alhamdulillah kita ada ketegasan dan tangga gaji itu naik.


"Gaji pekerja penjawat awam (juga) kita naikkan walaupun ia tentunya membebankan dari segi kewangan negara, tetapi ini keadilan bagi pekerja (dalam keadaan) kos sara hidup yang meningkat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page