
Datuk Farhash Wafa Salvador tampil memberi penjelasan bahawa pegangan saham yang yang dimilikinya dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikkan bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Jelasnya, Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki bersama dengan Sultan Muhammad V, bukannya milik beliau sebagaimana yang didakwa pihak pembangkang.
"Untuk rekod Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki secara bersama oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan saya, ianya bukan milikan saya sendiri seperti yang didakwa segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang," katanya dalam satu kenyataan.
Malah, Farhash berkata pemilikan saham tersebut juga merupakan strategi pelaburan beliau dan Sultan Muhammad V untuk membantu syarikat-syarikat bumiputera.
"Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak sesekali terbabit dengan mana-mana bahagian pentadbiran kerajaan dan aktiviti politik.
"Sebaliknya, fokus saya ketika ini adalah pada bidang perniagaan dan korporat," ujarnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dalam ucapannya di Dewan Rakyat mempersoal pegangan saham bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri tersebut.
Justeru, Farhash menegaskan kenyataan yang dibuat itu adalah untuk menyangkal dan menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan.
Terdahulu media melaporkan, ahli perniagaan itu muncul sebagai pemegang saham besar baharu HeiTech Padu Bhd dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9 peratus atau 16.1 juta saham yang dibeli.
Susulan itu, Farhash dilaporkan berkata pembelian saham itu turut membabitkan Theta Edge iaitu pesaing kepada Heitech.
"Jika saya membeli saham pada HeiTech, mengapa saya akan melabur dalam Theta Edge secara serentak?" katanya dipetik.
Comments