Pelaburan RM163.4 juta dalam eFishery: Dana kekal kukuh - KWAP


Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menjelaskan pelaburannya dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, dibuat sebagai pemegang saham minoriti dan menegaskan dana persaraan itu kekal kukuh meskipun syarikat berkenaan terpalit dengan penyelewengan kewangan.
Dalam satu kenyataan, KWAP memaklumkan kes eFishery melibatkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat tersebut.
"Kes eFishery secara keseluruhannya melibatkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat tersebut," kata kenyataan KWAP.
KWAP berkata, pada 29 April 2026, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah telah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Negeri Bandung selepas disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Sehubungan itu, KWAP menjelaskan bahawa semakan dalaman telah dilaksanakan bagi menilai keseluruhan proses pelaburan serta langkah-langkah pemulihan yang boleh diambil.
Menurut KWAP, jumlah keseluruhan pelaburannya dalam eFishery sebanyak RM163.4 juta, bersamaan kira-kira 2.51 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat tersebut.
"KWAP merupakan pemegang saham minoriti, manakala majoriti saham syarikat tersebut dipegang oleh pelabur lain, termasuk pelabur institusi global utama yang turut terkesan akibat salah laku berkenaan," kata kenyataan itu.
KWAP memaklumkan bahawa semakan menyeluruh telah dilakukan terhadap proses pelaburan, mekanisme pemantauan selepas pelaburan serta maklumat yang tersedia sepanjang tempoh pelaburan dibuat.
"Susulan pendedahan salah laku tersebut, KWAP telah melaksanakan semakan dalaman yang menyeluruh terhadap proses pelaburan, susunan pemantauan pasca pelaburan serta maklumat yang tersedia kepada KWAP sepanjang tempoh pelaburan tersebut.
"Tindakan susulan yang sewajarnya telah diambil selaras dengan tadbir urus dalaman dan kerangka akauntabiliti KWAP. KWAP juga terus meneroka dan melaksanakan segala saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan usaha pemulihan pelaburan," katanya.
Bagi mengurangkan risiko pada masa depan, KWAP berkata pihaknya telah memperkukuh pendekatan terhadap pelaburan pasaran swasta melalui kepelbagaian portfolio, kerjasama dengan pengurus dana berpengalaman, pemantauan pasca pelaburan yang lebih ketat serta pengawasan lebih rapi terhadap syarikat portfolio.
Dalam pada itu, KWAP menegaskan kedudukan kewangannya kekal kukuh hasil portfolio pelaburan yang pelbagai merangkumi pelbagai kelas aset, sektor dan geografi.
"Berdasarkan pencapaian kewangan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, KWAP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM8.33 bilion, dengan jumlah dana di bawah pengurusan meningkat kepada RM195.26 bilion," kata kenyataan itu lagi.
KWAP turut menegaskan komitmennya untuk terus menguruskan dana persaraan secara berhemat, telus dan bertanggungjawab bagi memastikan mandat membantu kerajaan memenuhi obligasi pencen kepada pesara sektor awam dapat dilaksanakan dengan berkesan.




Comments