Pelaburan RM1 bilion Agibot, RM170 juta ZTE buka peluang lima ribu pekerjaan


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan beberapa pertemuan bersama pengurusan kanan lima gergasi industri China bagi meneroka potensi pelaburan baharu serta kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi.
Pertemuan bersama AgiBot Innovation, ZTE Corporation, Alibaba Group, Geely Automobile Holdings dan Huawei Technologies itu meliputi perbincangan berkaitan robotik humanoid, infrastruktur digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi kenderaan elektrik (EV) serta e-dagang.
Menurut Anwar, AgiBot Innovation menyatakan komitmen terhadap potensi pelaburan bernilai RM1 bilion menjelang 2035, yang dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.
Sementara itu, ZTE Corporation menggariskan inisiatif serta pelaburan bernilai RM170 juta bagi memacu transformasi digital Malaysia, selain membuka lebih banyak peluang kerjaya berkualiti kepada tenaga kerja tempatan.
Dalam perbincangan bersama Alibaba Group pula, usaha memperluas akses pasaran bagi produk Malaysia, khususnya keluaran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta industri halal negara, ke pasaran China dan global melalui ekosistem digital Alibaba turut diberi perhatian.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI kekal komited merintis dan menarik pelaburan berkualiti tinggi, di samping memperkasa keupayaan bakat tempatan serta menjana peluang pekerjaan berkemahiran.
Usaha tersebut, katanya, penting bagi memacu kemakmuran ekonomi rakyat dan negara melalui pelaburan strategik serta kerjasama dalam sektor berteknologi tinggi.




Comments