Pelaburan asing merosot jejaskan nilai Ringgit - Hassan Karim



Salah satu punca nilai Ringgit terjejas teruk adalah akibat berkurangannya kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.


Kekurangan FDI berpunca daripada ketidaktelusan ekonomi Malaysia selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang menjanjikan reformasi pentadbiran pada 2020.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, pelabur asing kini semakin beralih ke Indonesia dan Vietnam sehingga menekan ekonomi Malaysia dengan teruk dalam tempoh 2 tahun kebelakangan.


"Pelaburan langsung asing masuk ke Malaysia sangat rendah. Pada tahun 2021 Malaysia hanya menerima FDI sebanyak AS$11.1 bilion berbanding Vietnam AS$31.1 bilion dan Indonesia AS$31.6 bilion.


"Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia bukan lagi pilihan utama para pelabur," katanya.


Ketiadaan FDI tersebut, tegas Hassan menyebabkan ekonomi tidak berkembang sebagaimana sepatutnya.


Malah pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2021, katanya telah dikalahkan oleh negara jiran yang sedekad lalu bukanlah pesaing Malaysia sama sekali.


"Ekonomi Malaysia kian merosot. Pada tahun 2021 KDNK negara berkembang paling rendah berbanding negara-negara ASEAN lain.


"KDNK Filipina berkembang sebanyak 7.4%, Kemboja 6.8%, Vietnam 6.7%, Indonesia 6.1% tetapi Malaysia hanya 3.1% sahaja," katanya.


Begitu juga, tambah Hassan, pendapatan per kapita Malaysia hanya berkembang 0.3% berbanding Vietnam 4.4% dan Indonesia 4.0%.


Oleh kerana ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang buruk berbanding negara-negara ASEAN maka penarafan Malaysia telah jatuh daripada -A ke +BBB.


"Semua hal ini menjadi faktor mendorong kejatuhan Ringgit berbanding matawang asing," ujar Hassan.


Dalam konteks ekonomi Johor - Singapura, kata beliau, hal berkenaan menyebabkan ratusan ribu bangsa Johor mencari pekerjaan di Singapura yang menawarkan pendapatan lebih menarik.


"Sebelum Pandemik Covid-19, seramai 400,000 Rakyat Malaysia bekerja di Singapura. Kebanyakannya berulang alik setiap hari.


"Ramai pekerja Malaysia yang sanggup bekerja dalam sektor 3D (dangerous, dirty and difficult) di Singapura kerana ganjaran gaji atau upah yang tinggi.


"Tarikan bekerja di Singapura adalah semula jadi bagi dua buah negara berjiran. Ini ditambah dengan kadar pengangguran yang masih tinggi di Malaysia. Pada akhir 2021, jumlah penganggur di Malaysia adalah seramai 687,600 orang.


"Kerana kegagalan Kerajaan Malaysia menjana pendapatan negara lebih baik dan mewujudkan peluang pekerjaan maka beratus ribu rakyat negara ini bekerja di Singapura. Mereka sedikit sebanyak dapat membawa balik kekayaan ke Malaysia dengan pendapatan yang tinggi," katanya.


Namun kesan buruknya, adalah pengaliran bakat bakat Malaysia keluar negara menyebabkan Johor semakin kekeringan pekerja yang mempunyai skil dan kemahiran.


Maka semakin sukar pula untuk menarik pelaburan bernilai atau berteknologi tinggi ke Johor.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER