Pelaburan amanah Bumiputera perlu kukuhkan daya saing ekonomi domestik
- Suara Keadilan
- Jun 24
- 1 min read

Syarikat pelaburan amanah berkaitan kerajaan disaran agar terus memperkukuh daya saing ekonomi domestik di tengah ketidaktentuan ekonomi global, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata langkah tersebut bagi memastikan jaminan pulangan yang mampan kepada para pemegang unit amanah.
"Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, saya tegaskan keperluan untuk kita terus memperkukuh daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan kepada para pemegang unit amanah," katanya dalam hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) perlu menggandakan usaha meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat khususnya Bumiputera.
"Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula harus kekal komited memperkasa usahawan Bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta sokongan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan.
"Saya tegaskan semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang memegang mandat pembangunan Bumiputera mesti terus menjadi pemacu dasar dan pelaksana utama inisiatif kerajaan khususnya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang telah pun dilancarkan," ujarnya.
Comentários