top of page

Pelabuhan darat Segamat mampu bangkitkan ekonomi Johor utara

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 8 hours ago
  • 3 min read
Konsep 'road to rail' yang dilaksanakan Segamat Inland Port (SIP) mampu menjimatkan kos logistik dan mempercepat penghantaran kargo. Foto Ihsan Yuneswawan Ramaraj melalui Facebook
Konsep 'road to rail' yang dilaksanakan Segamat Inland Port (SIP) mampu menjimatkan kos logistik dan mempercepat penghantaran kargo. Foto Ihsan Yuneswawan Ramaraj melalui Facebook

Usaha kerajaan mengaktifkan semula Segamat Inland Port (SIP) mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan ekonomi Johor Utara sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan di negeri itu.


Ahli Parlimen Segamat Yuneswaran Ramaraj berkata terminal logistik itu dapat memperkukuh rangkaian logistik selain mengurangkan kos pengangkutan, mempercepat penghantaran barangan dan menarik lebih banyak pelaburan ke Johor utara.


"Sebab itu, saya menyambut baik usaha Kementerian Pengangkutan di bawah teraju menterinya Anthony Loke yang mengaktifkan semula Segamat Inland Port (SIP).


"Ia bukan sekadar pembukaan sebuah terminal logistik, ini adalah permulaan kepada kebangkitan ekonomi Johor Utara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Yuneswaran yang juga Timbalan Menteri Perpaduan berkata konsep road-to-rail melalui SIP mampu menarik lebih banyak syarikat berpotensi memilih Johor utara sebagai lokasi operasi mereka.



Beliau menjelaskan pembangunan Johor sejak sekian lama lebih tertumpu di Johor Bahru dan kawasan selatan sedangkan Segamat, Tangkak, Muar dan daerah sekitarnya turut menyumbang kepada ekonomi negara.


"Tidak dinafikan, Johor Selatan merupakan nadi ekonomi penting negeri. Namun persoalannya, sampai bila Johor utara perlu terus menunggu?" katanya.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN itu menjelaskan rakyat di Johor utara yang turut membayar cukai berhak menikmati pembangunan yang lebih seimbang.


Kata beliau kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peluang pekerjaan, pelaburan, jaringan pengangkutan moden dan infrastruktur berkualiti.


Beliau berkata Johor utara telah lama berdepan kekurangan peluang pekerjaan sehingga menyebabkan ramai anak muda berhijrah ke Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura manakala usahawan pula menanggung kos logistik yang tinggi.


Dalam hal ini kata, kemudahan SIP dapat membantu industri seperti perusahaan perabot di Muar dalam memudahkan urusan ekports mereka termasuk penjimatan kos dan meningkatkan daya saing industri tempatan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan pengoperasian semula SIP sahaja tidak memadai tanpa disokong oleh pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang menyeluruh.


"SIP sahaja tidak mencukupi. Jika kerajaan benar-benar mahu membangunkan Johor Utara, maka pembangunan mesti hadir dalam satu pakej menyeluruh," katanya.


Sehubungan itu, Yuneswaran menggesa kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memastikan pengoperasian penuh SIP sebagai hab logistik utama negara, menyegerakan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan memperluaskan perkhidmatan ETS sehingga Johor Bahru.


Katanya kerajaan juga perlu menaik taraf jalan utama termasuk laluan Tangkak–Segamat, membangunkan kawasan perindustrian baharu, memperbanyakkan perumahan mampu milik, meningkatkan pelaburan sektor pertanian moden dan industri berasaskan agro serta memberi tumpuan kepada potensi Segamat dalam pembangunan East Coast Economic Region (ECER).


ANTHONY LOKE (kiri) bersama Yuneswaran Ramaraj memalu gendang besar sebagai simbolik merasmikan Infinity Multimodal Terminal 8 di Segamat Inland Port, Segamat, 25 Jun 2026. Foto Yuneswaran Ramaraj melalui Facebook
ANTHONY LOKE (kiri) bersama Yuneswaran Ramaraj memalu gendang besar sebagai simbolik merasmikan Infinity Multimodal Terminal 8 di Segamat Inland Port, Segamat, 25 Jun 2026. Foto Yuneswaran Ramaraj melalui Facebook

Yuneswaran berkata Johor utara mempunyai pelbagai kelebihan termasuk sumber tanah, sektor pertanian, tenaga kerja dan kedudukan strategik yang mampu menjadikannya sebagai koridor pertumbuhan baharu negara.


"Kita mempunyai tanah, hasil pertanian, kedudukan strategik, tenaga kerja serta potensi logistik yang besar. Apa yang kita perlukan hanyalah keberanian politik untuk mengagihkan pembangunan secara lebih adil," katanya.


Beliau turut menegaskan pembangunan Johor tidak boleh hanya tertumpu di Johor Bahru.


"Jika Johor Selatan menjadi pintu masuk antarabangsa, maka Johor Utara mesti menjadi pintu pertumbuhan baharu yang menghubungkan sektor pertanian, pembuatan, logistik dan perdagangan," katanya.


Sebagai Ahli Parlimen Segamat, beliau berkata akan terus membawa suara rakyat Johor Utara ke peringkat Parlimen, kementerian berkaitan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan lebih seimbang dapat direalisasikan.


"Perjuangan ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal keadilan pembangunan. Ini soal masa depan anak-anak Johor utara," katanya.


Pada Jun lalu Loke dipetik sebagai berkata SIP kini dihidupkan semula sebagai hab logistik Johor utara setelah lama tidak dioptimumkan sejak ditubuhkan pada 1997.


Apabila mencapai tahap matang operasi, SIP dijangka mengendalikan sehingga 6,000 TEU sebulan selain mewujudkan lebih 50 kategori pekerjaan baharu daripada operasi terminal hingga logistik dan pergudangan sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi Johor utara.


Dengan kedudukan yang strategik, SIP berpotensi menghubungkan kawasan perindustrian pedalaman seperti kluster perabot Muar, terus ke pelabuhan-pelabuhan utama negara dengan kos lebih kompetitif.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page