Pekerja kecewa tindakan kerajaan BN, kerajaan Selangor laksana pakej bantuan hadapi inflasi


Rakyat kecewa dengan kerajaan BN - PN yang gagal menguatkuasakan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang boleh memberi manfaat lebih baik kepada golongan pekerja berkuatkuasa pada 1 September lalu.
Bagaimanapun, menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar mengimbangi kegagalan itu dalam situasi inflasi melampau, Kerajaan Negeri telah menawarkan skim bantuan bersasar dan subsidi lewat pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022.
Katanya, kerajaan Selangor dalam usaha untuk memperbaiki kehidupan penduduk negeri telah meningkatkan had pendapatan dalam mendapatkan skim air percuma 20 meter padu.
Kerajaan Negeri juga, katanya, memberikan subsidi harga kepada barang barang keperluan harian yang melambung naik.
"Perluasan Skim Air Darul Ehsan (SADE) kepada had pendapatan maksima sehingga RM5,000 berbanding RM4,000 sebelum ini bakal memanfaatkan tambahan 100,000 isi rumah lagi dengan peruntukan tambahan RM 40 juta yang ditanggung oleh kerajaan Negeri. Ketika ini insentif SADE dengan 20 meter padu air percuma dinikmati oleh 237,0000 isi rumah.
"Bagi menangani kegagalan Kerajaan Persekutuan mengawal harga bahan mentah utama pula, insentif Jelajah Jualan Ehsan Rakyat menawarkan 6 jenis barangan keperluan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak dengan harga 30% lebih murah daripada harga pasaran," katanya.
Selain itu, ADUN Seri Setia itu juga berkata Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang memberi pampasan sehingga RM10,000 seandainya rakyat menghadapi kecelakaan dan sukar menjelaskan bil perubatan.
"Skim INSAN merupakan perlindungan insurans am sehingga RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis.
"Skim insurans berkelompok yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri ini melibatkan jumlah perlindungan keseluruhan sebanyak RM 60 bilion yang bakal memanfaatkan 6 juta rakyat negeri Selangor, berumur dari seawal 30 hari hingga 80 tahun," katanya.
Tegas Halimey, pendekatan Kerajaan Negeri ini jauh lebih berempati kepada rakyat berbanding kerajaan BN - PN, iaitu tanpa rakyat perlu mengubah diet dan pola pemakanan sebagaimana yang disarankan oleh Menteri dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila gagal mengawal harga barangan keperluan asas yang naik mendadak sedikit masa lalu.
"Sebaliknya, program jualan murah (barang keperluan) yang bermula sejak 31 Ogos akan dikekalkan sehingga 31 Disember di seluruh 9 daerah dan 56 DUN di Selangor.
"Oleh itu, KEADILAN Selangor menyambut baik langkah proaktif Kerajaan Negeri ini yang dijangka mampu meredakan gelombang kenaikan harga barang asas di pasaran berbanding had harga siling yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya lagi.
Tambah Halimey, insentif-insentif mengurangkan beban rakyat terutama dalam pasca pandemik Covid-19 dan kenaikan kadar inflasi ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri yang tidak berbelah-bahagi dalam melindungi rakyat dengan semangat negeri penyayang.




Comments