Pekerja gig tidak lagi terbiar, Kebajikan akan diperkukuhkan - Ramanan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI komited memperkukuh kebajikan serta masa depan golongan pekerja gig di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia.
Datuk Seri R Ramanan berkata, usaha itu dilaksana menerusi pelbagai inisiatif melibatkan perlindungan sosial, peningkatan kemahiran dan pembangunan kerjaya.
Tambahnya, antara usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan termasuk Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) yang diumumkan kerajaan dengan peruntukan lebih RM710 juta.
"Kerajaan komited memperkukuh ekosistem pekerjaan gig supaya lebih stabil, inklusif dan mampan untuk jangka panjang.
"RM20 juta diperuntukkan khusus bagi membantu meningkatkan daya tahan ekonomi pekerja gig termasuk pemandu e-panggilan dan penghantar p-panggilan," katanya dipetik.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penghargaan Rakan Grab yang menghimpunkan hampir 1,000 rakan pemandu dan penghantar dari kawasan Parlimen Sungai Buloh pada Sabtu.
Pada majlis sama, Ramanan turut menyampaikan sumbangan kepada rakan Grab sebagai tanda penghormatan atas dedikasi mereka dalam membantu melancarkan urusan harian masyarakat.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, kerajaan juga melaksanakan program berkaitan kecerdasan buatan dan peningkatan kemahiran digital menerusi AI MyMahir bagi memberi pendedahan kepada teknologi baharu dalam pasaran pekerjaan semasa.
Selain itu, pekerja gig juga berpeluang mengikuti latihan teknikal menerusi ADTEC Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka.
"Platform MYFutureJobs oleh PERKESO juga boleh dimanfaatkan golongan pekerja gig bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya yang lebih luas," ujarnya.
"Pembangunan sektor gig memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, syarikat penyedia platform dan pekerja sendiri bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terbela.
"Kerjasama semua pihak amat penting supaya sektor gig terus berkembang secara sihat dan memberi manfaat kepada pekerja serta ekonomi negara," katanya lagi.




Comments