top of page

Pejuang barisan hadapan masih impikan Malaysia Baharu




Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh


Sepanjang dua hari bertemu dan berbicara bersama para pejuang barisan hadapan menyampaikan sumbangan kuih raya, saya percaya dan masih meletak harapan pada cogan kata "Malaysia Baharu" yang didokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.


Tahun 2018 menyaksikan bahawa benarlah suara rakyat itu suara keramat. Rakyat bersatu hati memberi mandat kepada Kerajaan PH melalui pilihan raya umum (PRU) menolak pemerintah kleptokrat yang menzalimi rakyat. Tsunami perubahan menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional dan membuka lembaran baharu bagi halatuju negara yang lebih baik melalui reformasi institusi yang menjadi tonggak dalam khidmat kerajaan PH.


Rakyat menjadi lebih cakna pada isu dan keadaan semasa. Suara rakyat menjadi semak dan imbang dalam keputusan dan dasar yang dibuat kerajaan. Media diberi kebebasan menyampai berita. Kes rasuah dan pecah amanah dibawa ke muka pengadilan. Tidak dinafikan wujudnya ruang yang boleh diperbaiki dari pihak Kerajaan PH, tetapi Malaysia sudah mula berada di landasan yang betul.


Manifestasi semangat terserlah


Hari ini, ketika negara dipimpin oleh mereka yang menggadaikan prinsip dan masa depan rakyat, saya bersua muka dan berbicara bersama penjawat awam yang terdiri dari para pejuang barisan hadapan, manifestasi semangat Malaysia Baharu itu terus terserlah. Pejuang barisan hadapan kini lebih peka, tidak mudah dan tidak takut termakan dengan politik murahan. Selagi mana ada usaha yang boleh dibawa demi kebaikan dan kebajikan rakyat, ia wajib dilaksanakan. Walaupun kini saya bukan lagi wakil dari kerajaan memerintah, sambutan dan layanan yang diterima tetap mesra dan profesional.


Inilah yang mereka pegang.


Dalam setiap gerak para pegawai polis, dalam setiap senarai nama penerima bantuan jabatan kebajikan, dalam setiap pemeriksaan oleh pegawai kesihatan, kiblatnya adalah demi rakyat, demi kebajikan dan kebaikan rakyat. Dalam wujudnya campurtangan budaya politik sempit dan murahan, "frontliners" ini terus tekad berkhidmat sebaik mungkin demi rakyat.


Mandat manifesto apa?


Bukan demi pemerintah, apatah lagi pengkhianat yang mengkhianati mandat rakyat. Ada Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional yang kerap melaungkan slogan “demi mandat rakyat”. Saya musykil, rakyat mana yang memberi mandat? Atas premis manifesto apa mandat itu?


Sewaktu penguasa kerajaan rakus berpolitik berbahagi kedudukan dan harta, para pejuang barisan hadapan ini rancak bertindak demi rakyat dan negara. Sewaktu kerajaan bermain politik dalam kemelut krisis penularan wabak yang belum berakhir, para pejuang barisan hadapan ini bergadai nyawa, tenaga dan masa memastikan kelangsungan hidup para rakyat.


Demikianlah, saya percaya Malaysia Baharu masih tegap pasaknya. Rakyat sendiri sudah matang dan mendalami maknanya. Demikianlah, saya yakin dengan angin perubahan yang bertiup, belum tahu waktu tibanya, boleh membawa kebaikan dan penerusan dalam agenda reformasi halatuju negara tercinta ini. Mungkin dengan peluang yang akan tiba ini, semangat Malaysia Baharu ini akan terus menjadi azimat buat rakyat.


Masanya telah tiba. Ambil pati, buangkan ampas.


__________________________________________________________________________________


Penulis adalah Ahli Parlimen Ledang dan Pengerusi KEADILAN Negeri Johor

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page