Peguam negara nafi lakukan pendakwaan bermotif politik
- Suara Keadilan
- Jul 19, 2023
- 1 min read

Peguam Negara hari ini menafikan pihaknya telah melakukan pendakwaan berunsur politik sebagaimana dituduh oleh sesetengah pihak.
Menurut kenyataan Peguam Negara, tiada pendakwaan terpilih telah dilakukan ke atas mana mana individu berhubung kes yang melibatkan ahli politik baru baru ini.
"Susulan daripada dakwaan berlakunya pendakwaan terpilih (selective prosecution) yang bermotif politik dan penganiayaan (persecution) dalam pendakwaan kes baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan, dan bukannya atas desakan mana-mana pihak atau faktor yang lain.
"Keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, Peguam Negara menafikan wujudnya pendakwaan bermotif politik atau penganiayaan terhadap mana-mana individu yang dianggap melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
"Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara berdasarkan peruntukan undang-undang
tanpa mengira status dan latar belakang orang yang didakwa," kata kenyataan itu.
Sejak semalam tular di media sosial kononnya pendakwaan ke atas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor adalah bersifat politik kerana tarikh yang hampir dengan Pilihan Raya Negeri dan ucapan beliau didakwa diputar belit oleh pihak tertentu.
Comments