Peguam Negara benar SPRM dakwa bekas panglima ATM, isteri
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa tiga individu termasuk dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta seorang orang awam, susulan siasatan berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa.
SPRM dalam kenyataan berkata individu terlibat ialah bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddiean Jantan dan isterinya, Salwani Anuar, masing-masing akan berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
"Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh akan dikemukakan di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Khamis, 22 Januari 2026," menurut kenyataan itu hari ini.
SPRM berkata Hafizuddiean akan menghadapi dua lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam pada Jumaat, 23 Januari ini manakala Salwani pula akan didakwa dengan satu pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin, 26 Januari.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM juga memperoleh izin untuk mendakwa bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat, 23 Januari ini.
Beliau akan didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), selain satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
SPRM turut memaklumkan siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
"SPRM kekal komited memastikan setiap kes rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa kompromi, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang," menurut kenyataan itu.









Comments