Pegawai SPRM 'kebal': Lakukan siasatan rapi segera - AMK



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mahu polis melakukan siasatan rapi dan menyeluruh terhadap kes 3 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana salah guna kuasa terhadap barang kes melibatkan seorang bekas ketua jabatan.


Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir berkata, siasatan telus dan menyeluruh amat penting kerana salah seorang pegawai yang ditahan tersebut dikatakan 'kebal' kerana mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik ternama.


"Menurut sumber-sumber yang telah dilaporkan di media, salah seorang suspek yang ditahan disifatkan sebagai ‘kebal’ kerana hubungannya dengan orang-orang ternama, selain turut diketahui sebagai ‘bermasalah’.


"Kes seperti ini sudah semestinya mencalarkan imej SPRM yang sepatutnya mencerminkan tahap ketelusan dan integriti yang terbaik dalam sistem pentadbiran negara.


"Oleh yang demikian, siasatan yang akan dijalankan oleh pihak polis perlu dibuat secara profesional dan berlunaskan prinsip undang-undang, tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya.


Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga menekankan pendakwaan yang setimpal dengan kesalahan mesti dilakukan tanpa mengira pagawai terbabit mempunyai kenalan orang ternama atau tidak.


"Berikutan itu, SPRM perlu memastikan mereka yang terlibat tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika benar didapati bersalah hanya kerana mereka berpangkat dan mempunyai status. Tindakan tegas perlu diambil agar kejadian seperti ini tidak berulang.


"Rakyat meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap institusi SPRM yang bebas untuk kekal bersih dan berintegriti dalam usaha untuk memerangi amalan rasuah yang kian membarah dalam kalangan ahli-ahli politik mahupun anggota masyarakat," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER