
Penduduk Kampung Koskan Tambahan di Hulu Selangor mendapat jaminan daripada pemaju, TA Global bahawa kerja-kerja perobohan kediaman mereka ditangguhkan sehingga 11 Mei ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berkata persetujuan itu dicapai selepas pihaknya berbincang dengan pemaju berhubung isu tersebut.
Tambah pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor itu, Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali akan mencarikan rumah sewa untuk 12 keluarga yang terlibat sebelum perobohan itu dimulakan kembali.
"Setakat ini kami dah carikan tiga rumah sebab tempoh sangat singkat tapi kalau ada masa sehari dua lagi, kami akan dapat cukup rumah.
"Pada masa sama, proses pembelian Rumah Selangorku seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan dibincangkan dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) secepat mungkin
"Pihak pemaju dan Kerajaan Negeri turut akan berbincang untuk mendapatkan persetujuan berhubung tawaran dan tuntutan menang-menang antara pemaju dan penduduk," katanya.
Penduduk kampung tersebut sebelum ini diberikan notis Mahkamah Tinggi untuk mengosongkan rumah yang sudah diduduki lebih 40 tahun di atas tanah tersebut.
Berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, kawasan tersebut - Lot 4465 GRN 322912 - merupakan hak milik persendirian sejak 133 tahun iaitu pada 21 Jun 1890.
Pemilik asal tanah terbabit telah menjual kawasan berkenaan kepada Panca Resmi Sdn Bhd pada 1991.
Walau bagaimanapun pada 30 Mac satu writ pemilikan bagi pihak pemaju dikeluarkan. Peguam penduduk kampung memaklumkan rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan agar pelaksanaan perintah pengosongan itu ditangguhkan tetapi masih belum mendapat tarikh mahkamah untuk mendengar kes itu.
Difahamkan pemaju telah merobohkan enam buah rumah yang telah dikosongkan semalam sementara rumah lain dipotong bekalan elektrik.
Pemaju dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kemudian menurut Saifuddin setuju untuk menyambung semula bekalan elektrik yang dipotong untuk memberi laluan kepada kerja-kerja merobohkan enam buah rumah.
"Sekiranya terdapat perubahan, pihak kami akan meminjamkan genset untuk kegunaan 12 buah rumah. Semoga penyelesaian menemui noktah yang lebih baik dan memuaskan hati semua pihak," ujarnya.