Perdana Menteri (PM) baharu yang akan melantik menteri kabinet pada dalam masa terdekat perlu mengkaji semula program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan oleh pentadbiran PM Mahiaddin Yassin sebelum ini.
Menurut mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pelan PdPR negara yang sedia ada tidak mapan dan meragukan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak berkongsi maklumat mengenai kehadian pelajar dan tahap pencapaian murid sepanjang program pendidikan tersebut berlangsung.
Katanya, negara perlukan satu pelan besar pendidikan pasca Covid 19 agar pelajar tidak mengalami keciciran kekal.
"KPM dalam hal ini sepatutnya telus dengan data keberkesanan PdPR dengan menyatakan peratus kehadiran murid di dalam kelas-kelas PdPR, dan juga kehadiran sewaktu sekolah dibuka sementara sebelum PKP 3.0.
"Ini semua demi kebaikan bersama. Langkah penambahbaikan PdPR setelah setahun dijalankan amat perlu, sumbangsaran dari pelbagai pihak juga wajar dilakukan.
"Kerajaan tidak boleh lagi berlagak mereka mengetahui yang terbaik. Usaha kolaboratif diperlukan untuk memastikan pendidikan yang sempurna dapat diberikan kepada anak-anak nusa," katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut kurang bersetuju dengan pendekatan PdPR ketika ini yang meletakkan beban kepada ibu bapa sebagai guru kedua, namun mereka tidak diberi apa-apa latihan mengenai proses ulang kaji atau bahan bantuan menyiapkan kerja rumah yang diberikan kepada anak-anak.
Katanya, KPM juga perlu berkongsi data keberkesanan PdPR dan membentang pelan penambahbaikan demi kelangsungan pendidikan murid-murid di seluruh negara.
"Selain itu, KPM seharusnya mewujudkan laman web rujukan yang khusus (one stop center) kepada para guru dengan memuatkan bahan pengajaran, modul dan latihan yang boleh digunakan untuk PdPR.
"Kerajaan harus menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai oleh pakar, profesional, ahli akademik dan wakil daripada para guru serta persatuan ibu bapa untuk merangka pelan bersepadu pendidikan pasca Covid-19. Hal ini telah berkali-kali dibawakan oleh pelbagai pihak namun dipandang sepi oleh kerajaan," katanya lagi.
Dr Maszlee turut menyarankan agar kerajaan menggembeleng tenaga di antara KPM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi-agensi lain untuk memperbanyakkan lagi siaraya, mesej video tular dan rancangan di televisyen untuk membimbing ibu bapa bagi membantu anak-anak sepanjang PdPR berlangsung.
Comments