PdPR: Jangan abaikan Pendidikan, Seni dan Kebudayaan sewaktu pandemik Covid 19


Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan alternatif meneruskan sesi persekolahan biasa sewaktu pandemik Covid 19 mengganas di Malaysia.


Bagaimanapun, sesi persekolahan maya tersebut didapati hanya mengutamakan pembelajaran subjek utama dan mengabaikan aspek pendidikan seni serta kebudayaan.


Bagi mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan mantan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, aspek pendidikan kesenian seharusnya tidak boleh dipisahkan bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam masa sama mempunyai jiwa yang mulus.


"Pendidikan perlu dilihat dalam kerangka yang holistik dan bukan hanya berpaksikan peperiksaan dan silibus semata-mata. Pendidikan adalah usaha bersepadu untuk perkembangan dan kemenjadian murid yang menyeluruh.


"Kami mengambil maklum bahawa di kala wabak Covid-19, anak-anak tidak dapat ke sekolah dan mereka terpaksa mengikuti sesi pembelajaran menerusi PdPR di samping bahan-bahan lain yang disalurkan melalui siaran TV Pendidikan (DidikTV).


"Malangnya, kami dapati kandungan PdPR berdasarkan manual yang telah dikeluarkan oleh KPM, dan juga kandungan DidikTV seperti yang dapat diikuti oleh umum mengabaikan konsep kebudayaan, kesenian dan warisan. Hal ini amat tidak sihat bagi perkembangan murid dalam usaha kita membina kemenjadian murid yang komprehensif walaupun di kala wabak melanda.


"Hakikat yang menyedihkan ialah para pelajar kita kurang pendedahan kepada seni budaya dan tradisi kepelbagaian kaum dan suku di Malaysia. Pendidikan kita juga agak kurang menitik beratkan isu ini, di mana pembelajaran masih dilihat dalam kerangka norma biasa, tanpa mengambil peduli perihal keperluan jiwa dan minda anak-anak kepada unsur seni budaya dan warisan," kata mereka dalam satu kenyataan.


Bagi mereka, pelajar yang tidak menghargai seni budaya masing-masing adalah seumpama individu yang tidak mempunyai jiwa, ibarat kata artis seni ukir dari Inggeris yang terkenal, Henry Moore: “The soul cannot thrive in the absence of art.”


Kata mereka, pendidikan mestilah bersifat konstruktif dalam membina generasi yang mempunyai kewarasan fikiran, pendedahan kepada seni dan budaya serta warisan negara yang boleh membentuk perpaduan bangsa, kerohanian jiwa, kesopanan dan kesusilaan demi kesejahteraan sosial.


Sehubungan itu, mereka mencadnagkan agar jalinan kolaborasi beberapa kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Sains dan Inovasi, dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bekerjasama bagi mewujudkan bahan pembelajaran yang lebih menarik, dengan menggunakan pembangunan video interaktif berteraskan teknologi digital seperti animasi, teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR).


"Kerajaan juga perlu menggunakan bakat artis-artis dalam bidang teknologi kreatif yang mampu mengadakan bahan berkualiti berkaitan kesenian, kebudayaan dan warisan yang menarik berdasarkan subjek yang diajar disekolah untuk dipaparkan di Didik TV, ataupun dikongsikan lewat pelantar DELIMA milik Kementerian Pendidikan Malaysia.


"Jabatan Muzium Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kerap mengadakan Facebook Live bagi megenalkan beberapa artifak yang dipamirkan di muzium-muzium negara kita, dan juga JKKN pula mengenai seni budaya beberapa tempat dalam negara.


"Bahan-bahan yang telah dihasilkan ini jika digabung dengan subjek sejarah akan dapat menghasilkan kaedah pembelajaran yang lebih menarik untuk dikongsikan di saluran-saluran televisyen ataupun pelantar pembelajaran milik KPM sebagai bahan pelajaran bukan hanya sekadar sewaktu PKP, malah untuk kegunaan pembelajaran selamanya," kata mereka lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER