top of page

PdPR 2.0 lepas Hari Raya, bantuan komputer riba senyap tanpa khabar berita?


Program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kali kedua akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri ini berikutan pengumuman Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, semalam.


Bagaimanapun, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) sangsi adakah kali ini kerajaan Perikatan Nasional telah bersedia dengan kurikulum yang sesuai dan adakah komputer riba yang dijanjikan kepada pelajar akan segera tersedia selepas Hari Raya?


Menurut kenyataan jawatankuasa itu, sekiranya program PdPR 2.0 ini sama sahaja sebagaimana yang lalu maka masa hadapan murid-murid sekolah akan dipertaruhkan.


"Pada 26 April 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan rasminya telah mengumumkan bahawa sekolah-sekolah yang belum ditutup buat masa ini di seluruh negara akan ditutup selepas cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga cuti penggal pertama tamat.


"Pengumuman ini merupakan satu tindak balas akibat kenaikan kes Covid-19 yang mendadak melibatkan Kluster Pendidikan.


"Walaupun banyak sekolah di negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Johor telah ditutup sementara waktu bagi proses sanitasi, namun KPM bersedia menutup sekolah secara keseluruhan mulai 8 Mei 2021 iaitu mengambil masa 2 minggu daripada sekarang.


"Jawatankuasa Pendidikan PH berpandangan berapa lama tempoh PdPR dilaksanakan sekalipun, yang penting ialah bantuan komputer riba harus disegerakan kepada murid yang memerlukan," kata mereka dalam satu kenyataan.


Menurut jawatankuasa itu lagi, langkah PdPR merupakan satu perkara wajar untuk dilaksanakan memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat. Bagaimanapun kata mereka ia harus diiringi dengan bantuan-bantuan kemudahan PdPR buat murid mahupun guru yang tidak mempunyai kelengkapan.


Langkah ini, menurut jawatankuasa itu, bagi memastikan proses PdPR yang akan dilaksanakan memberi keberkesanan yang maksima kepada semua murid dan guru.


"Jawatankuasa Pendidikan PH menggesa KPM untuk menyegerakan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021 kepada semua golongan secepat mungkin.


"Kami juga menggesa supaya pihak kerajaan dapat memberi insentif khas kepada para guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan PdPR.


"Bagi guru, murid dan ibu bapa yang memerlukan bahan pembelajaran, dijemput untuk menggunakan platform Sophia.my sebagai salah satu alternatif sepanjang PdPR nanti," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (KEADILAN), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah)


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page