
Pasukan bantuan misi pasca banjir Baling dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor yang dilepaskan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari kelmarin telah melaksanakan operasi bantuan pembersihan kawasan di beberapa kampung.
Menurut kenyataan dari laman rasmi Facebook MB Selangor, pasukan itu telah melakukan pembersihan di Kampung Sadek dan akan bergerak ke kampung lain setelah misi diselesaikan.
"Kerja-kerja membersih kawasan banjir di sekitar Kampung Sadek, Kupang, Baling melibatkan Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala langat (MPKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Klang.

"Misi kali ini tertumpu kepada kerja-kerja mengalihkan pokok, membuka jalan yang terputus dan membersihkan kawasan penduduk yang terlibat.
"Adalah diharapkan misi ini dapat mencapai objektif dan hasrat Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah," kata kenyataan terbabit.
Kerajaan Selangor sebelum ini telah menghantar pasukan lebih 200 anggota, sama ada kakitangan PBT mahu pun sukarelawan di bawah Kerajaan Negeri untuk melakukan misi pasca banjir di Baling.