PBT perlu jelaskan SOP aktiviti hiburan di kawasan persendirian - AMK Pahang
- Suara Keadilan
- May 29, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pahang tampil meminta penjelasan piawaian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) susulan kompaun RM25,000 dikenakan ke atas penganjur pesta ‘Aloha’ di sebuah resort di Pulau Lang, Terengganu baru-baru ini.
Ketuanya, Chan Chun Kuang berkata pengurus resort itu biarpun mengakui gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) namun masih terdapat kekeliruan dan persoalan yang perlu dijelaskan berkenaan peraturan penganjuran aktiviti hiburan dalam kalangan pelancong asing di kawasan persendirian.
"Saya setuju bahawa sensitiviti budaya dan agama setiap tempat perlu dihormati oleh semua pelancong, namun saya juga berpandangan bahawa persoalan berkenaan standard penguatkuasa, piawaian pemakaian serta batasan kawasan awam antara kawasan peribadi (persendirian) harus diperjelaskan oleh pihak kerajaan Terengganu dan PBT.
"Industri pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan yang penting bagi negara kita, tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa perlu dipertimbangkan dengan lebih teliti agar tidak menjejaskan daya tarikan pelancongan," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas kenyataan itu lagi, batasan antara kawasan awam dan persendirian perlu digariskan dengan jelas oleh PBT Terengganu bagi mengelakkan campur tangan berlebihan dalam aktiviti peribadi yang sah di sisi undang-undang termasuklah kebebasan pelancong dan rakyat untuk berpakaian sesuai di kawasan persendirian.
"Saya berpendirian bahawa pelancong sepatutnya diberikan kebebasan untuk menikmati percutian mereka dalam ruang lingkup yang tertutup tanpa sebarang gangguan, selagi mana ia tidak melanggar undang-undang yang sedia ada.
"Penjelasan yang jelas dan komunikasi yang berkesan kepada pelancong, pengusaha pelancongan dan orang awam adalah penting untuk memastikan keseimbangan antara pemeliharaan budaya tempatan dan daya tarikan pelancongan," ujarnya lagi.
Apa yang penting katanya, isu seperti 'pesta Aloha' itu tidak dijadikan modal politik mana-mana pihak kerana ia mempunyai impak yang besar terhadap sektor pelancongan negara yang merupakan salah satu sumber pendapatan penting bagi negara dan rakyat.
"Saya berharap agar dialog yang lebih konstruktif dapat diadakan antara pihak berkuasa, pengusaha pelancongan, dan masyarakat untuk memastikan industri pelancongan kita terus berkembang dengan sihat dan harmoni," kata kenyataan itu lagi.
Comments