Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan pelabur asing sedang menarik keluar pelaburan dari Malaysia akibat krisis politik yang menyebabkan negara tidak stabil terutamanya selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan kuasa darurat kerana kehilangan majoriti di Parlimen.
Minggu lalu, Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan (Unctad) mendedahkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia menjunam lebih dari dua pertiga kepada hanya AS$ 2.5 bilion (RM10.18 bilion) tahun lalu, penurunan terburuk di rantau ASEAN di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming sempat menggunakan label "orang sakit Asia" yang sebelum ini merujuk kepada Filipina ketika berada di bawah pemerintahan diktator Ferdinand Marcos.
"Adakah Malaysia dalam bahaya untuk menempuh jalan yang sama dan dipandang sebagai orang Asia yang sakit pada tahun 2020-an kerana ketidakcekapan politik dan ketidakupayaan menguruskan krisis Covid di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN)?" soalnya dipetik.
Sebaliknya, Filipina telah berubah menjadi prestasi terbaik ASEAN tahun lalu, dengan FDI meningkat 29 peratus menjadikan jumlah pelaburan kepada AS$ 6.4 bilion.
Singapura menyaksikan penurunan 37 peratus kepada AS$ 58 bilion tetapi masih selesa sebagai destinasi FDI yang paling menarik di rantau ini.
Prestasi Malaysia lebih membimbangkan jika dibandingkan dengan prestasi lain di negara Asia yang sedang membangun, di mana penurunan rata-rata hanya 4 peratus.
Kebanyakan pakar melontarkan pendapat yang lebih kurang sama, iaitu penyumbang utama prestasi buruk FDI adalah krisis politik yang semakin meningkat dan implikasi terhadap polisi populisme yang dibawa selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Pakatan Harapan (PN) yang mengambil alih kerajaan hanya bertahan selama 22 bulan, jatuh akibat perpecahan dalaman.
Pengarah Asia di Eurasia Group, Peter Mumford yang menasihati firma berkepentingan perniagaan di rantau ASEAN berpendapat darurat dan krisis politik mengurangkan keyakinan pelabur asing.
"Ketidaktentuan dalam politik yang berlanjutan hanya dihilangkan sementara oleh darurat dan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai masalah ekonomi, semuanya memberi kesan kepada keyakinan pelabur," katanya.
Menteri Kewangan Tengku Azfrul Aziz sebelum ini berbangga kerana mendakwa pelabur asing terus menaruh keyakinan terhadap Malaysia, tetapi Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (Eurocham) menempelak dakwaan itu.
Ketua eksekutif Eurocham Sven Schneider berkata, ini kerana pelaburan bernilai RM110 bilion meliputi pelaburan asing dan domestik yang disebut oleh Tengku Zafrul untuk sembilan bulan pertama tahun lalu adalah 25 peratus lebih rendah daripada pelaburan tahun 2019.
"Kami kini menerima banyak kebimbangan daripada pelabur mengenai kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
"Sehingga hari ini, menteri tidak bertemu dengan kami dan mendengar keprihatinan syarikat-syarikat kami. Tanpa input ini, kementerian tentu tidak dapat mengatasi masalah secara langsung. Kami memerlukan lebih dari janji-janji manis," katanya.
Pengarah eksekutif Socio-Economic Research Centre, Lee Heng Guie percaya bahawa PN telah mengambil kira cadangan sektor swasta, tetapi perlu melakukan lebih banyak tindakan.
"Pelaburan sangat bergantung pada pelaksanaan polisi yang telus dan stabil, inklusif dan efisien. Meminimumkan ketidakpastian setiap hari serta mengurangkan kekeliruan panduan dan peraturan dalam sektor perniagaan," katanya.
Selain syarikat gergasi dunia seperti Amazon, Google dan Tesla yang membuat keputusan untuk melabur di Indonesia berbanding Malaysia, pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai turut memindahkan markas Asia Pasifiknya dari Malaysia ke Indonesia.
Hyundai pada 2019 melabur AS$ 1.55 juta di sebuah kilang di Indonesia, mengikut jejak pengeluar kereta Jepun, Toyota, yang melabur AS$ 2 bilion, juga di Indonesia.
Syarikat elektronik Jepun, Panasonic, penyedia bateri untuk kenderaan elektrik Tesla, juga memilih untuk menutup kilang panel solarnya di Malaysia.
Comments