Bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston meluahkan kebimbangan terhadap reaksi kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani isu kemiskinan negara.
Ini selepas beliau mengeluarkan laporan penuh mengenai lawatan rasminya di Malaysia dari 13 hingga 23 Ogos 2019 bagi mengenal pasti isu golongan miskin tegar dan hak asasi manusia.
Lawatan itu dibuat di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan melibatkan pertemuan dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, agensi antarabangsa, masyarakat awam, akademik, dan orang-orang yang terjejas oleh kemiskinan di bandar dan kawasan luar bandar.
Alston juga mengunjungi pusat gelandangan, tempat perlindungan wanita, pusat kanak-kanak, rumah kos rendah, pusat orang kurang upaya (OKU), komuniti orang asli dan penempatan serta sekolah bukan kerajaan.
Dalam laporan tersebut, Alston mendapati kenyataan bahawa kadar kemiskinan Malaysia berada pada tahap 0.4 peratus iaitu terendah di dunia adalah berdasarkan statistik yang langsung tidak benar.
Garis kemiskinan negara yang sebenar adalah sebanyak RM980 sebulan untuk setiap isi rumah, menyaksikan sebuah keluarga yang mempunyai empat orang ahli keluarga memperoleh RM8 setiap orang dalam sehari.
Namun, Alston menganggap reaksi kerajaan yang menyatakan bahawa garis kemiskinan itu merupakan kajian standard antarabangsa adalah cubaan untuk menutup dan mengabaikan ketidaksamaan antara realiti dan statistik.
"Kerajaan dan Perdana Menteri terdahulu komited untuk mengubah garis kemiskinan negara namun reaksi kerajaan baharu terhadap laporan PBB dianggap meragukan kerana kerajaan baharu kekal dengan pendirian bahawa kadar kemiskinan negara berada pada tahap terendah.
"Pendirian kerajaan sangat membimbangkan kerana garis kemiskinan adalah tidak tepat dan dianggap luar biasa rendah. Ia satu langkah ke belakang terhadap komitmen kerajaan terdahulu yang ingin menangani isu kemiskinan secara serius.
"Berpura-pura yang hampir tidak ada sesiapa di seluruh negara hidup dalam kemiskinan tidak mengubah realiti bahawa wujud berjuta-juta orang miskin.
"Mahu elakkan dari dimalukan adalah satu perkara tapi memutarbelit fakta adalah satu lagi perkara berbeza," katanya dalam kenyataan.
Alston mengakui, walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan yang mengagumkan dalam menangani kemiskinan dalam tempoh 40 tahun, penggunaan data garis kemiskinan sedia ada dianggap usang dan tidak realistik, sekali gus mengaburkan realiti.
"Perkara ini merisaukan berjuta-juta orang yang memperoleh pendapatan rendah dan keadaan ini hanya diperburukkan lagi oleh COVID-19.
"Sekiranya kerajaan ingin membasmi kemiskinan, soal memperbaiki garis kemiskinan adalah langkah pertama.
"Kemajuan sesebuah negara memerlukan pemahaman yang lebih baik mengenai sifat kemiskinan, terutama di kawasan bandar, peningkatan polisi sosial, dan pendekatan baru terhadap populasi yang lama diabaikan dan menghadapi kadar kemiskinan yang lebih tinggi," katanya.
Dalam laporan itu juga, Alston memberitahu terdapat beberapa golongan yang tidak termasuk dalam data bagi mengukur kadar kemiskinan seperti pekerja asing.
“Berjuta-juta orang bukan warganegara dipengaruhi oleh kemiskinan secara tidak adil, termasuk pendatang, pelarian, orang tanpa kewarganegaraan dan rakyat Malaysia yang tidak berdaftar, yang secara sistematik dikecualikan dari angka kemiskinan rasmi, diabaikan oleh pembuat dasar dan sering dilarang daripada perkhidmatan asas.
"Pekerja migran membentuk sebahagian besar populasi keseluruhan dan telah menjadi punca kepada kejayaan ekonomi negara. Namun mereka sengaja ditinggalkan di zon kelabu di bawah peraturan yang memudahkan salah laku dan berada dalam keadaan yang buruk.
Malah, masyarakat peribumi hidup dalam keadaan yang membimbangkan.
“Masyarakat peribumi terus menghadapi diskriminasi meskipun ada komitmen terpuji untuk mempromosikan hak mereka, pegawai kerajaan salah faham dan menolak tujuan serta cara hidup mereka.
"Ini menjadikan masyarakat peribumi berada pada kadar kemiskinan yang jauh lebih tinggi daripada penduduk umum dan mengalami pelanggaran hak-hak mereka secara meluas, perampasan tanah dan pengecualian dari sokongan sosial," katanya.
Golongan wanita dan orang kurang upaya (OKU) yang didiskriminasi juga didapati tidak termasuk dalam data kadar kemiskinan.
"Wanita di Malaysia mempunyai kerja rumah tangga yang tidak adil, mempunyai kadar penyertaan tenaga kerja yang sangat rendah, terjebak dengan pekerjaan berjawatan rendah dan dibayar lebih rendah daripada lelaki.
"OKU menghadapi diskriminasi dan kekangan yang besar sehingga mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam masyarakat secara setara dengan orang lain," katanya.
Alston turut mempersoal kesukaran untuk mendapatkan data yang lengkap bagi menganalisa kadar kemiskinan Malaysia dengan lebih terperinci.
"Data berkaitan kemiskinan sering kali tidak dapat diakses atau bahkan hampir tidak ada. Perkara ini tidak produktif dan menyebabkan pembuat dasar dan penyelidik pada dasarnya bekerja dalam kegelapan.
"Tidak seperti kebanyakan negara lain, Malaysia tidak memberikan akses penuh kepada mikrodata untuk tinjauan isi rumah, dan tidak mengumpulkan maklumat mengenai ukuran populasi kemiskinan tertentu," katanya.
"Pemerintah harus melancarkan reformasi terhadap sistem perlindungan sosial yang retak dan tidak rata untuk memastikan bahawa keperluan orang yang hidup dalam kemiskinan dapat ditangani secara komprehensif, dengan dasar perlindungan sosial untuk semua," katanya.
Di akhir laporan itu, Alston menganggap golongan miskin di negara ini akan terus menderita selagi kerajaan tidak benar-benar serius untuk membasmi kemiskinan.
"Secara keseluruhan, Malaysia telah mencapai kemajuan melawan kemiskinan, namun selagi kerajaan baharu tidak mengambil pendekatan yang berbeza, kemajuan itu akan tetap tidak lengkap.
"Kerajaan memiliki peluang untuk menjadi juara pengurangan kemiskinan tegar dengan memperbaiki kehidupan rakyat, memberikan golongan miskin sokongan yang mereka perlukan dan memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi negara benar-benar inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk," katanya.
Pengganti Alston, Olivier De Schutter akan menyampaikan laporan itu kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 7 Julai.
Kommentare