top of page

PATI, warga asing tidak wajar terima rawatan di klinik, hospital kerajaan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
15 hours ago
2 min read

Pesakit asing yang membayar tetap mengambil katil dan masa kakitangan yang sama dengan pesakit tempatan. Kerana itu kami, berpendapat laluan rawatan biasa warga asing, PATI dan pelarian patut melalui hospital swasta

Batalion Anak Muda (BAM) menggesa kerajaan menyusun semula akses perkhidmatan kesihatan awam dengan mencadangkan warga asing, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian mendapatkan rawatan biasa di hospital serta klinik swasta.


BAM dalam kenyataan berkata, cadangan itu mengambil kira masalah tunggakan bil rawatan pesakit bukan warganegara yang sukar dikutip, khususnya membabitkan PATI yang tidak mempunyai dokumen sah atau majikan untuk dipertanggungjawabkan.


Katanya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026, jumlah belum terima Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pesakit bukan warganegara mencecah RM281 juta daripada keseluruhan RM336 juta pada 2025.


"Menurut Menteri Kesihatan, bil perubatan warga asing yang tidak dijelaskan ialah RM34.97 juta pada 2023, RM33.46 juta pada 2024 dan RM30.57 juta pada 2025.


"Laporan Utusan dan Vibes pada 29 Januari 2026 pula menyebut PATI menyumbang RM22.40 juta atau 73.30 peratus nilai bil yang gagal dikutip pada 2025.


"Wad yang penuh dan doktor yang sedikit tidak bertambah kerana seseorang membayar. Pesakit asing yang membayar tetap mengambil katil dan masa kakitangan yang sama dengan pesakit tempatan.


"Kerana itu kami, berpendapat laluan rawatan biasa warga asing, PATI dan pelarian patut melalui hospital swasta.


"Menteri Kesihatan sendiri berkata sistem kesihatan awam akan sentiasa mengutamakan rakyat Malaysia, dan kami mahu kenyataan itu diterjemahkan kepada dasar," kata BAM lagi.


BAM bagaimanapun berkata, pihaknya sedar KKM tidak boleh menolak kes kecemasan kritikal dan komplikasi bersalin.


"Kami tidak mahu sesiapa dibiarkan tanpa rawatan yang menyelamatkan nyawa.


"Cadangan kami ialah pesakit distabilkan dahulu di hospital kerajaan, kemudian dipindahkan ke fasiliti swasta dengan kos ditanggung oleh pesakit, majikan, insurans atau pihak yang bertanggungjawab ke atasnya.


"Kami juga sedar bahawa kapasiti dan harga hospital swasta ialah soalan yang sebenar, dan pelarian tidak dibenarkan bekerja.


"Sebab itu peralihan ini perlu dirundingkan dan dilaksanakan secara berperingkat, bukan diumumkan dalam satu malam," ujar BAM lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page