Pasukan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju pada pemilihan kali ini menyediakan calon timbalan, naib dan exco yang terdiri daripada golongan profesional.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai, pasukan beliau tidak muncul semata mata kerana pemilihan parti atau pilihan raya umum (PRU) sebaliknya telah berkhidmat di kawasan sejak bertahun tahun lalu.
"Pasukan kami terdiri daripada anggota-anggota veteran berkualiti seperti Pak Mus (calon Timbalan Ketua Cabang) dan Azmee Rahim (calon Naib Ketua Cabang) yang sedia memberi bimbingan kepada mereka yang lebih junior untuk memastikan kesinambungan pucuk pimpinan ke generasi yang baru.
"Di kalangan kami, terdapat juga golongan profesional seperti pensyarah, peguam, usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya dalam kehidupan masing-masing," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berpendapat politik semasa tidak seharusnya terlalu berpaksi kepada idea khemah besar untuk menyatukan kekuatan pembangkang sebaliknya perlu dijana kekuatan sebenar dalaman parti untuk menghadapi PRU yang akan diadakan dalam beberapa bulan dari sekarang.
"Beberapa minggu yang lalu, ramai dikejutkan oleh saranan sesetengah pemimpin arus perdana yang mencadangkan persefahaman politik demi menghadapi cabaran pilihan raya
"Kecenderungan ini, ditafsir sebagai ‘jalan pintas’. Ia mungkin mempercepatkan perjalanan namun pada masa yang sama meletakkan KEADILAN dalam imej yang pasrah (kepada tawar menawar)," katanya.
Walau apa pun, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan itu, KEADILAN di cabang Wangsa Maju tetap menumpukan kepada gerak kerja melakukan seberapa banyak kebajikan buat rakyat dan dari situ sokongan akan diperolehi dalam PRU.
"Kami bersama Ahli Parlimen Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, meskipun tidak lagi menjadi sebahagian kerajaan, kami bertungkus lumus dengan pelbagai rintangan untuk memastikan KEADILAN Wangsa Maju tetap relevan.
"Sebagai entiti politik, selain daripada aktiviti sumbagan kebajikan, lebih fokus perlu ke atas isu yang menggamatkan rakyat seperti isu ekonomi, perkerjaan malap dan kos sara hidup yang makin membebankan," katanya lagi.
Andre juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anggota KEADILAN Wangsa Maju dan rakyat seluruh negara.
Comments