
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari mahu para pentadbir di peringkat komuniti dan daerah serta perbandaran di negeri itu sentiasa rapat dan mendengar keluh kesah rakyat bagi menjamin Kerajaan Negeri kekal utuh.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa bersama para hampir 750 Ketua Kampung, wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Majlis PBT dan ketua komuniti di Selangor, baru baru ini.
"Selaku pemimpin harus memastikan rakyat sentiasa dekat dan rapat dengan kita. Memastikan masyarakat faham pada kita dan kita faham pada rakyat
"Saya berharap kita dapat mengukuhkan semangat bermuafakat, meningkatkan semangat berpasukan, mengukuhkan dan memperbetulkan kesilapan dari semasa ke semasa.
"Semangat itu harus ditanam dari setiap warganya, setiap pemimpinnya, dari akar umbi sampai di atas. Kita jadi warga dan rakyat berdaya tahan untuk berdepan rintangan dan cabaran mendatang," katanya.
Amirudin berharap amanat beliau akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh para anggota pentadbir peringkat rendah dan kalangan Pihak Berkuasa Tempatan.
Katanya, amat penting memastikan kecemerlangan negeri terus dipertahankan dalam suasana ekonomi dan politik yang tidak menentu ketika ini.
"Justeru ingatan saya kepada anggota pentadbiran agar sentiasa cekal dalam meneruskan perkhidmatan dan mereka ini penentu kepda kejayaan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan selangor.
"Ini akan menjadi pengukuh dan pengikat saya untuk berterusan membangkitkan dan menjadikan negeri ini kekal cemerlang," katanya lagi dalam ucapan di majlis berbuka puasa di Dewan Bankuet, SUK Selangor.