top of page

Pastikan Kerajaan MADANI terus stabil, berfungsi, fokus agenda reformasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 17, 2025
  • 2 min read

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar), merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau sepanjang menggalas amanah dalam Kerajaan MADANI.


Menurut Dr Zaliha, setiap keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung rombakan Kabinet semalam adalah berlandaskan pertimbangan menyeluruh demi kepentingan negara serta bagi memastikan pentadbiran Kerajaan MADANI kekal stabil, berfungsi dan fokus kepada agenda reformasi.


"Saya percaya setiap keputusan yang diambil oleh YAB Perdana Menteri dibuat dengan penuh pertimbangan, berlandaskan kepentingan negara serta keperluan untuk memastikan pentadbiran Kerajaan MADANI terus stabil, berfungsi dan fokus kepada agenda reformasi yang telah digariskan," katanya dalam satu kenyataan media.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi-agensinya atas komitmen serta kerjasama erat sepanjang tempoh hampir dua tahun menerajui portfolio berkenaan.


"Dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro," jelasnya.


Dr Zaliha berkata, pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di Wilayah Persekutuan turut mencatat kejayaan apabila berjaya menoktahkan miskin tegar melalui pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data.


Menyentuh pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan, beliau menjelaskan fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus diperkukuh menerusi inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan, termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan.


Dalam pada itu, Dr Zaliha mengucapkan tahniah kepada YB Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.


"Semoga beliau dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat," katanya.


Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI yang baharu dilantik dan menegaskan komitmennya untuk terus menyokong agenda MADANI serta dasar-dasar reformasi kerajaan.


"Sebagai anggota Kerajaan MADANI, saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda MADANI demi negara dan rakyat," kata beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page