Task Force Thaipusam 2024 pastikan kemeriahan sambutan - Dr Gunaraj
- Suara Keadilan
- Jan 18, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Sambutan perayaan Thaipusam yang akan berlangsung pada 25 Januari ini sememangnya dinantikan oleh penganut Hindu di seluruh negara.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunarajah R George bersama badan bertindak Thaipusam Task Force 2024 kali ini mengutamakan tiga garis panduan bagi perayaan Thaipusam kali ini, terutamanya tahap kebersihan.
Katanya, ‘task force’ Thaipusam itu yang melibatkan gabungan NGO dan persatuan kuil Hindu ditubuhkan sejak 10 tahun lalu berperanan memberi kesedaran dan membantu pengajuran sambutan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan sepanjang perayaan berlangsung
Task force juga, jelas beliau, mengeluarkan Prosedur Operasi Piawai (SOP) bagi memastikan kelancaran sambutan perayaan tersebut selain memudahkan penganut Hindu menjalankan upacara mereka.
"Oleh itu dengan adanya task force (tahun ini) ini mereka tak perlu bawa daun pisang, bunga, buah-buahan. Sebaliknya semua dah disediakan (pihak penganjur) untuk memastikan majlis lebih lancar.
"Selain itu, ia juga dapat memastikan keselamatan orang ramai dengan penyediaan anggota rela yang ditugaskan nanti," katanya kepada media.
Dalam pada itu, Dr Gunaraj yang juga ADN dua penggal Sentosa merakamkan penghargaan kepada pihak Persatuan Kuil Batu Caves, Sungai Petani dan Kuala Selangor yang turut membantu menjayakan perayaan itu.
"Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Kuil Batu Caves, Sungai Petani dan Kuala Selangor kerana selalu membantu menjayakan program task force bagi memastikan perayaan ini berjalan baik dan selamat," ujarnya.
Untuk rekod, Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan 'Thai', iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil bagi menghormati Dewa Murugan sempena memperingati hari kelahiran dewa itu.
Comments