Pasca Rafizi: Kementerian Ekonomi tidak akan dibubarkan - PM
- Suara Keadilan
- 12 hours ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Ekonomi akan berfungsi seperti biasa dan tidak timbul ia akan dibubarkan susulan peletakan jawatan menterinya Razifi Ramli.
Sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas Timbalan Presiden KEADILAN itu, Perdana Menteri berkata beliau akan membuat keputusan mana-mana menteri akan menjalankan tugas kementerian terbabit.
"Kementerian Ekonomi dulu Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri kemudian beberapa tahun masa PH pertama, satu kementerian, jadi itu diberikan itu latar belakang.
"Isu itu tidak berbangkit, kerana yang menentukan jemaah menteri dan saya, saya fikir tidak ada keperluan untuk rombak apa apa setakat ini.
"Saya ucap selamat berjaya pada saudara Rafizi yang telah berkhidmat begitu baik sebagai Menteri Ekonomi dan saya akan putuskan mana-mana menteri atau kementerian menjalankan tugas," katanya dipetik Buletin TV3 selepas merasmikan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Rafizi mengumumkan peletakan jawatan pada 28 Mei atas alasan "sudah hilang mandat" selain menunaikan janjinya untuk berbuat demikian jika gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden KEADILAN.
Beliau tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan parti pada Mei lalu.
Ahli Parlimen Pandan itu mengosongkan pejabat di kementeriannya di Putrajaya pada 13 Jun dan 17 Jun merupakan tempoh akhir beliau bercuti sebelum perletakan jawatan berkuatkuasa.
Manakala mengenai status peletakan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pula, Anwar berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan kerana pihaknya ingin memberi ruang dan masa sebelum membuat keputusan.
"Saya selalu tunggu, bagi peluang. Fikir, renung dan saya bagi pandangan saya. Kalau boleh, (biar beliau) teruskan khidmat dan (beliau) ada masa lagi (sebelum peletakan jawatan berkuat kuasa)," katanya.
Nik Nazmi yang gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden KEADILAN mengikuti jejak langkah Rafizi apabila mengumumkan peletakan jawatan pada 28 Julai dengan mengambil cuti sehingga 3 Julai.
Dalam pada itu ditanya mengenai Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), Perdana Menteri berkata kementerian terbabit sedang melaksanakan perubahan melibatkan angka dan unjuran susulan keadaan ekonomi dan kenaikan tarif import yang telah diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada April.
Rancangan lima tahun yang dijadual dibentangkan pada Parlimen Julai ini merupakan tanggungjawab bersama Jemaah Menteri dengan kerjasama Kementerian Ekonomi sebagai sekretariat utama, kata Perdana Menteri.
"RMK adalah kerja Jemaah Menteri keseluruhannya..dan perubahan banyak berlaku terutama senario ekonomi sekarang dengan tarif jadi banyak angka unjuran diubah, minggu lalu ada mesyuarat untuk mendegar dari kementerian apa perubahan penyesuaian dan dasar baru kementerian," katanya.
Kommentarer