Oleh: Akmal Manaf
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September lalu jelas memberi isyarat bahawa rakyat di Johor menolak politik yang dimainkan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar menyifatkan politik 'mengadu domba' dan 'menghasut' rakyat sudah tidak lagi relevan.
Justeru katanya, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu pulang ke pangkal jalan dan membina landskap politik baharu.
''Politik tiada fakta.. yang dia (Muhyiddin) kata pada sebelum-sebelum ini bagi saya ianya sudah tidak relevan lagi.
''Kita kena bergerak ke hadapan. Ekonomi negara sudah bertambah baik dan ringgit juga mengukuh. Kita kena ada cita-cita untuk membina Malaysia baharu,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan PRK DUN Mahkota yang memihak kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus menghantar petanda politik perkauman dan agama sempit dimainkan PN sudah 'luput tarikh'.
Menurut Onn lagi, keputusan PRK DUN Mahkota yang menyaksikan BN memenangi kerusi berkenaan, merupakan indikator bahawa pemikiran rakyat sudah matang untuk menolak hujah-hujah daripada PN.
Untuk rekod, PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mempertahan kerusi itu selepas Syed Hussien Syed Abdullah menang dengan majoriti luar biasa 20,648 undi selepas mendapat 27,995 undi.
Majoriti itu menyaksikan calon BN jauh meninggalkan pencabarnya daripada PN, Mohamad Haizan Jaafar yang hanya meraih 7,347 undi.
PRK DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah mewakili BN sebelum ini memenangi kerusi berkenaan menerusi saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan dengan majoriti sekitar 5,000 undi.
Comments