top of page

Pasca perang 12 hari: Semak semula kebergantungan makanan import - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 28
  • 2 min read
ree

Perang 12 hari antara Israel dan Iran telah pun berakhir dengan gencatan senjata di kedua dua belah pihak.


Namun bagi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, perang 12 hari itu telah mendedahkan betapa rapuhnya keamanan antarabangsa, ditambah dengan sikap Israel yang bebas melakukan serangan pencegahan, dengan alasan negara tertentu akan menjadi ancaman kepada kewujudannya.


Menurut Mahfuz, tidak mustahil serangan sama akan berulang ke negara lain di Timur Tengah yang memberi masalah kepada Israel. Malah kesan perang 12 hari juga, katanya belum dicerapkan sepenuhnya, apakah akan menyebabkan kenaikan harga minyak akibat ketidaktentuan geopolitik serantau.


"Saya menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Iran yang menjadi perkembangan positif selepas ketegangan yang meruncing di rantau Timur Tengah.


"Namun demikian, gencatan senjata tidak serta-merta menghapuskan kesan-kesan ekonomi dan geopolitik yang telah pun tercetus – khususnya terhadap keterjaminan makanan negara negara di dunia, khususnya Malaysia," katanya dalam kenyataan.


Sehubungan itu, Mahfuz mencadangkan supaya kerajaan Malaysia membincangkan kesan mendalam perang 12 hari dan kemungkinan boleh merencatkan keterjaminan makanan pada masa hadapan.


Katanya jika berlaku lagi serangan seumpamanya, dan Selat Hormuz benar benar ditutup oleh Iran maka akan berlaku peningkatan mendadak harga minyak, seterusnya harga makanan.


"Sebagai negara yang masih mengimport lebih RM60 bilion makanan setahun, Malaysia tetap terdedah kepada risiko gangguan makanan dan kenaikan harga barang, walaupun letupan peluru berpandu sudah tidak kedengaran.


"Kesan kenaikan harga ini akan membebankan petani, penternak, dan pengguna, seterusnya boleh mencetuskan ketidakstabilan ekonomi dan sosial dalam negara," ujarnya.


Oleh itu, Mahfuz mencadangkan agar kerajaan menyemak semula Dasar Sekuriti Makanan Negara untuk lebih berdaya tahan terhadap krisis global dan mengurangkan pergantungan luar.


Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menggesa kerajaan memberi lebih banyak bantuan serta bimbingan kepada para petani, penternak dan nelayan bagi meningkatkan hasil untuk mengurangkan kebergantungan kepada import.


"Kerajaan perlu juga memberi subsidi bersasar kepada petani dan penternak bagi membantu mereka kekal berdaya saing walaupun kos input meningkat," katanya.


Selain itu, kerajaan wajar memanggil Sidang Khas Parlimen membincangkan kesan konflik perang antara Israel dan Iran serta pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan keterjaminan makanan rakyat Malaysia.


Tegas Mahfuz, negara tidak boleh leka dengan gencatan senjata kerana biarpun perang telah berhenti namun kesannya masih kekal berlarutan. Sekiranya Malaysia lalai maka krisis makanan boleh berlaku daripada konflik itu sendiri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page