top of page

Pasca kemelut politik Perlis: Afnan gesa Pas ambil alih teraju PN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 minutes ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Ketidakpuasan hati pemimpin Pas terhadap rakan sekutunya Bersatu semakin sengit apabila Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib (gambar) menggesa agar parti Islam tersebut mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN).


Ahli Parlimen Alor Setar itu menyifatkan Bersatu gagal mengawal wakil rakyatnya di Perlis hingga sanggup menandatangani Akuan Berkanun (SD) menolak kepimpinan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.


"Dengan apa yang berlaku di Perlis ini, layak sangatlah Pas mengambil-alih mengetuai PN.


"Pas take-over PN. Presiden Pas sebagai Pengerusi PN," katanya dalam hantaran di Facebook.


Beliau membidas sikap Bersatu yang berdolak dalik terhadap pergolakan politik di negeri paling utara Malaysia itu dengan menyatakan bahawa tiada sebarang arahan kepada ADUN mereka untuk menandatangani SD.


"Didesak ambil tindakan tegas seperti Pas ambil tindakan terhadap tiga ADUN tapi sehingga kini tiada tindakan. Bahkan, dihantar pula nama untuk jadi MB.


"Tak bagi arahan. Tapi tak ambil tindakan. Kedua-duanya membawa maksud merestui tindakan," katanya.


Afnan menyifatkan Bersatu sebagai rakan yang lemah kerana tidak mampu mengawal anggota parti mereka.


"Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat," sindirnya.


"Yang khianat tak boleh dibuat kawan! Yang lemah tak boleh jadi ketua!"


Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau selepas diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.


Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri menjadi Menteri Besar pertama daripada parti tersebut di Perlis.


Pelantikan Abu Bakar yang sebelum ini merupakan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri menamatkan seketika pergolakan politik di negeri itu yang tercetus sejak minggu lalu ekoran laporan lapan ADUN menarik sokongan terhadap Shukri.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page