Pasca gagal darurat: Muhyiddin perlu kerjasama PH tadbir kerajaan - Azan



Pandemik Covid 19 yang memburuk dan kerapuhan Kerajaan Perikatan Nasinonal (PN) memerlukan pendekatan baharu dalam politik Malaysia.


Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin yang dilihat semakin lemah sebaik-baiknya membuka kerjasama kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara.


Muhyiddin boleh melibatkan PH seperti pada era Tun Razak yang mewujudkan kerajaan pelbagai parti selepas darurat 1969.


"Soal memerintah dan mentadbir ini kerajaan kena buka peluang kerjasama dengan pembangkang atau mana-mana pihak sekalipun kerana itu tanggungjawab dia sebagai PM. Dia kena mencari ikhtiar merujuk dan berunding dengan pembangkang mewujudkan suasana yang tidak akan menyusahkan rakyat.


"Pembangkang tugasnya semak-imbang dan kita tak mahu kerajaan buat sesuka hati gunakan wang yang banyak dalam perbelanjaan, beri habuan kepada menteri, buat lantikan GLC untuk menyokongnya. Jika kerjasama ini berlaku kerana untuk tangani Covid-19, tidak ada siapa yang tak bersetuju.


"Tetapi saya rasa kerajaan Muhyiddin tidak mampu untuk menangani isu ini kerana kerajaannya ketika ini sedang 'sibuk' kekalkan kuasa dan tidak mahu jatuh.


"Dia kena ingat kerajaan 'tebuk atap' ini tidak boleh buat sesuka hati, tidak boleh suka-suka membelanja wang negara. Dia kena dapat pengesahan dan sokongan dulu (melalui Parlimen), namun ini isu yang cuba dilarikan Muhyiddin dan menteri kabinetnya," kata Azan ketika dihubungi Suara Keadilan.


Mengulas lanjut kegagalan Muhyiddin mengisytihar darurat, Azan menegaskan kerajaan PN sesungguhnya telah hilang majoriti.


Menurutnya, Muhyiddin tidak akan memohon perisytiharan darurat sekiranya beliau yakin mempunyai sokongan mencukupi di Dewan Rakyat.


Hanya faktor pandemik Covid 19 dan titah Yang di-Pertuan Agong agar ahli politik jangan terlalu berpoliticking menyelamatkan kerajaan PN.


"Jika Muhyiddin betul ada sokongan majoriti sebagai PM dia takkan minta darurat. Dalam keadaan sekarang, Muhyiddin kelam kabut untuk kekal memerintah, beliau menggunakan istana untuk kekalkan kuasanya dan juga menteri-menterinya.


"Bila darurat Parlimen digantung, tidak ada lagi semak-imbang, beliau boleh buat apa sahaja yang dia suka tanpa melalui Parlimen, tanpa dipersoalkan dan dibahas keputusan yang dibuat. Ini juga membuktikan dia tak ada sokongan lagi daripada Ahli Parlimen.


"Dalam hal ini nampak Datuk Seri Anwar mempunyai sokongan cukup untuk dilantik sebagai Perdana Menteri," katanya lagi.


Sejak kegagalan perisytiharan darurat sehingga hari ini PH masih menunggu Muhyiddin menawarkan kerjasama dengan langkah awal meneliti bersama dokumen Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Parlimen.


Sekiranya kerjasama itu tidak berlaku maka tiada jaminan kerajaan PN akan selamat dalam sesi Parlimen November ini.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio