Pasaran buruh kekal stabil, kadar pengangguran julai tiga peratus - DOSM
- Suara Keadilan
- 29 minutes ago
- 1 min read

Kadar pengangguran negara bagi Julai 2025 kekal pada tiga peratus dengan 521,600 penganggur, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar) berkata, pasaran buruh terus menunjukkan trajektori positif disokong pertumbuhan ekonomi domestik meskipun berdepan ketidaktentuan global.
"Jumlah tenaga buruh meningkat 0.2 peratus kepada 17.47 juta orang berbanding 17.43 juta pada Jun. manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.8 peratus," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu menurut Dr Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja pada Julai adalah seramai 19.95 juta orang berbanding 16.92 juta yang direkodkan pada Jun.
"75 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Julai 2025 adalah terdiri daripada kategori pekerja yang meningkat kepada 12.71 juta orang pada Julai 2025, dengan peningkatan marginal 0.1 peratus (Jun 2025: 12.69 juta orang).
"Bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mengekalkan momentum yang menggalakkan pada bulan tersebut, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi," tambahnya.
Bagi pengangguran, 79.8 peratus merupakan mereka yang aktif mencari kerja. Daripada jumlah itu, majoriti (64.3%) menganggur kurang tiga bulan, manakala hanya 5.1 peratus berdepan pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
Dalam kenyataannya, Dr Mohd Uzir menjangkakan pasaran buruh akan kekal stabil dengan sokongan asas ekonomi domestik, pelaburan strategik serta dasar kerajaan yang proaktif.