Pasar Seni Temerloh tarikan terkini Bandar Ikan Patin
- Suara Keadilan
- Aug 4
- 1 min read

Bandar Temerloh kini mempunyai satu lagi tarikan baharu yang menggabungkan elemen seni, budaya dan ekonomi rakyat – Pasar Seni Temerloh. Terletak di tengah bandar yang sinonim dengan gelaran “Bandar Ikan Patin”, lokasi ini semakin menjadi tumpuan penduduk setempat dan pelancong.
Pasar Seni Temerloh menampilkan elemen kreatif seperti hiasan payung berwarna-warni, mural seni yang memukau dan suasana santai yang sesuai untuk aktiviti bergambar serta bersantai bersama keluarga.
Di samping itu, para pengunjung berpeluang menyokong usahawan tempatan dan menikmati pelbagai hasil seni dan produk kraftangan yang dipamerkan.
Kelmarin Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkesempatan menyantuni para peniaga dan pengunjung di tapak tersebut. Beliau menyifatkan Pasar Seni Temerloh sebagai satu manifestasi keharmonian antara ekonomi dan budaya tempatan.
"Dengan hiasan payung warna-warni, mural seni dan suasana santai, tempat ini benar-benar menghidupkan roh seni dan budaya setempat.
"Buat anda yang merancang ke Temerloh jangan lepaskan peluang singgah ke Pasar Seni Temerloh. Lokasi ini bukan sahaja sesuai untuk bergambar, tapi juga tempat terbaik untuk menyokong peniaga tempatan dan menikmati hasil seni rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ahli Majlis Temerloh Clr Azizul, ADUN Pahang Mohd Fadzli Mohd Ramly, serta barisan pimpinan AMANAH Temerloh dan Negeri.
Pasar Seni Temerloh kini dibuka kepada umum dan menjadi lokasi ideal bagi mereka yang ingin menikmati sisi lain Temerloh selain keenakan hidangan ikan patin yang terkenal.
Comments